Tengku Abdullah menzahirkan rasa puas hati terhadap tindakan yang diambil Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mengetuai operasi tersebut membabitkan beberapa agensi penguatkuasaan.

Menurut laporan Bernama hari ini, baginda bertitah, operasi itu diteruskan bagi memastikan kawasan tanah tinggi tersebut sentiasa diawasi daripada ke­giatan pencerobohan haram.
“Alhamdulillah semua dapat dibendung dan dikawal de­ngan baik, sehingga kini dan tidak ada lagi pencerobohan secara besar-besaran, namun saya menekankan supaya operasi ini diteruskan dan kawasan ini sentiasa diawasi da­ripada pencerobohan haram.

“Kita juga dalam proses untuk memulihkan dan menghijaukan semula kawasan yang terlibat dengan memberikan tanah lesen pendudukan sementara (TOL) kepada mereka yang berhak terutama yang mengharapkan hasil pertanian ini untuk menyara keluarga mereka,” titah Tengku Abdullah mengikut laporan tersebut.

Baginda bertitah demikian kepada pemberita selepas menghadiri Taklimat Kemajuan Operasi Pembanterasan Penerokaan Tanah Cameron Highlands, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Op Gading dilaksanakan melalui dua fasa dengan yang pertama antara Disember 2014 sehingga Disember 2015 dengan MKN berjaya memusnahkan tanah haram seluas 2,258 hektar atau 83 peratus daripada jumlah keseluruhan dan membuka sebanyak 98 kertas siasatan terhadap petani haram.

Fasa kedua pula dilaksanakan bermula 2 Mei sehingga 31 Julai ini yang turut memberi tumpuan kepada kerja-kerja pemulihan alam semula jadi sebagai usaha mengembalikan keindahan pusat peranginan di tanah tinggi itu.