Menurut mereka, apa yang sedang berlaku ketika ini tidak mustahil berulang dan kemungkinan tersebut amat membimbangkan.

NORSEHHA KASDAN
NORSEHHA KASDAN 

Seorang penduduk di kawasan terjejas, Norsehha Kasdan, 59, mahukan jaminan daripada kerajaan bahawa kawasan kediamannya selamat untuk didiami.

“Saya percaya pihak berkuasa mampu menangani bencana yang berlaku ketika ini, namun apa yang membimbangkan adalah sekiranya ia berulang pada masa depan.

“Apakah jaminan kepada penduduk bahawa bencana seperti ini tidak akan berlaku lagi,” soalnya ketika ditemui di rumahnya di Kota Masai di sini sebentar tadi.

Dia yang mempunyai dua anak juga berharap kerajaan dapat memastikan setiap kilang yang beroperasi dalam kawasan itu mematuhi undang-undang ditetapkan khususnya membabitkan keselamatan dan kesihatan penduduk setempat.

Pencemaran toksik di Sungai Kim Kim di sini yang masih berlarutan sejak 7 Mac lalu telah menjejaskan seramai lebih 4,000 penduduk setempat sehingga memaksa kerajaan menutup 111 buah sekolah di kawasan terlibat.

MUHAMMAD BADRULL HISYAM ADAM
MUHAMMAD BADRULL HISYAM ADAM 

Seorang lagi penduduk, Muhammad Badrull Hisyam Adam, 29, pula berharap kerajaan dapat memastikan kejadian sama tidak berulang lagi pada masa akan datang.

“Kebanyakan penduduk yang terlibat dalam kejadian ini telah membeli kediaman dan menetap bersama keluarga masing-masing di kawasan ini.

“Bukan mudah bagi kami untuk meninggalkan kawasan ini setelah menetap di sini, jadi kami berharap kerajaan dapat memastikan perkara ini tidak berlaku lagi di masa depan,” ujarnya penuh harapan. - UTUSAN ONLINE