Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, pembukaan sekolah-sekolah di sini akan mengambil kira perkembangan semasa termasuk laporan daripada jawatankuasa bencana.

“Kita hanya ada empat hari lagi sebelum cuti sekolah bermula, jadi saya percaya Menteri Pendidikan akan melihat dan memantau laporan jawatankuasa sebelum membuat sebarang keputusan tentang pembukaan sekolah,” ujarnya dalam sidang akhbar di sini sebentar tadi.

Beliau berkata demikian ketika ditanya bila sesi persekolahan di sini akan dibuka semula selepas Kementerian Pendidikan mengarahkan semua sekolah ditutup untuk mengelakkan pelajar menjadi mangsa pencemaran toksik di Sungai Kim Kim.

Terdahulu beliau meninjau perkembangan kerja-kerja pembersihan di sungai tersebut selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa pengurusan bencana di Menara Aqabah di sini. - UTUSAN ONLINE