Menurut keluarga itu, majlis perkahwinan terpaksa diteruskan biarpun keluarga pengantin perempuan menerima banyak panggilan bertanyakan tentang tahap keselamatan di sini.

Ini ekoran kejadian pencemaran toksik di Sungai Kim Kim di sini di mana sebuah sekolah di kampung tersebut, Sekolah Kebangsaan (SK) Perigi Acheh merupakan antara yang terawal ditutup kerana terjejas dengan insiden berkenaan.

Biarpun jarak Sungai Kim Kim dan Kampung Perigi Acheh adalah sejauh 7 kilometer, namun Sungai Kopok sepanjang 2 kilometer yang terletak di kampung tersebut bercantum dengan sungai yang terjejas akibat pencemaran toksik itu.

Menurut bapa saudara pengantin perempuan, Maarof Salim, 53, rata-rata panggilan yang diterima adalah daripada saudara mara dan rakan dari luar Johor termasuk dari Selangor, semua mereka bertanyakan tentang keadaan di kampung itu.

“Ada yang telefon dan tanya keadaan di sini sama ada selamat atau tidak, kita bimbang juga kalau ramai yang tidak dapat hadir tetapi alhamdulillah mereka yang telefon sebelum ini datang juga ke majlis hari ini.

“Pihak kami tidak boleh nak batalkan kerana semua perkara berkaitan majlis sudah siap, lebih 800 kad kahwin sudah pun diedar, malah khemah sudah ditempah lima bulan lalu, mahu tidak mahu, majlis perlu diteruskan,” katanya ketika ditemui di majlis perkahwinan pasangan Mastura Aziz dan Reza Roslan di sini sebentar tadi.

Ditanya sama ada pihaknya bimbang dengan keadaan yang tidak berapa baik di Pasir Gudang ketika ini, Maarof berkata, kebimbangan itu ada, namun dia melihat penduduk kampung tetap menjalankan aktiviti seperti biasa sejak insiden berlaku, malah mereka juga bergerak tanpa memakai penutup hidung dan mulut.

Dia yang juga Ketua Nelayan Perigi Acheh memberitahu, isu pencemaran bukan perkara baharu di kampung itu, malah pencemaran di Sungai Kopok sudah berlaku sejak sekian lama dan sebelum kejadian pencemaran toksik, udang dan ikan di sungai turut mati.

“Mungkin penduduk di kampung ini sudah biasa dan lali dengan keadaan pencemaran Sungai Kopok itu, pelbagai jenis ikan boleh dapat di situ antaranya siakap, kitang, belanak dan selangit,” katanya yang menetap di kampung itu sejak lahir. - UTUSAN ONLINE