Ini kerana, pasukan 12 Skuadron RAJD CBRNe tidak pernah berdepan dengan situasi sebenar di lapangan sejak ditubuhkan pada tahun 2007.

Komander Jurutera Medan Barat, Brigedier Jenderal Ir. Abdul Hamid Mohd. Isa berkata, bagaimanapun, pasukan itu banyak membuat latihan intensif termasuk dengan pasukan tentera daripada luar negara seperti Amerika Syarikat dan Kanada.

“Selama ini kita memang banyak mengadakan pelbagai latihan intensif berkaitan bagi berdepan antaranya situasi seperti pencemaran bahan kimia beracun Toxic Industrial Chemical (TIC).

“Insiden Sungai Kim Kim adalah operasi sebenar yang kita hadapi dan saya dapat melihat pasukan ini mampu dalam melaksanakan tugas dengan baik selain sudah bersiap sedia membantu mana-mana agensi yang memerlukan kepakaran kami,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Yang turut hadir, Pegawai Pemerintah 12 Skuadron RAJD CBRNe, Leftenan Kolonel Norhelmi Ismail.

12 skuadron RAJD CBRN digerakkan ke Sungai Kim Kim dengan kekuatan empat pegawai dan 21 anggota lain-lain pangkat terdiri daripada Pasukan Tinjau CBRN dan Pasukan Nyah Cemar CBRN.

Pasukan 12 Skuadron RAJD CBRNe turut dilengkapi beberapa peralatan pengesan iaitu ChemPro, Lightweight Chemical Detector (LCD), peralatan uji kaji dan beberapa sut khas CBRN.

Abdul Hamid berkata, bagi insiden pencemaran toksik di Sungai Kim Kim, pasukan itu bukan hanya menghantar pasukan bagi kerja pemantauan, melaksanakan tugas pembersihan serta perlaksanaan operasi di kawasan tercemar tetapi turut mendapat bantuan Pasukan Unmanned Aerial Vehicle (UAV).

Menurutnya, Pasukan UAV dari Bahagian Geospatial Pertahanan (BGSP) itu menggunakan dron jenis Phantom, M210 dan Mavic untuk melaksanakan penilaian awal mencari titik pencemaran di kawasan terlibat termasuk membuat pemetaan.

“Daripada penilaian awal itu, kita akan membuat keputusan sama ada perlu menghantar pasukan ke kawasan tercemar atau tindakan lain yang boleh diambil,” katanya.

Beliau berkata, dron yang digunakan itu mampu meninjau kawasan seluas 835 hektar dan mampu terbang setinggi 250 meter. - UTUSAN ONLINE