Daripada jumlah itu jelas beliau, sebanyak 951 mangsa dimasukkan dalam wad manakala 25 pula dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

Menurut beliau, kementerian juga telah menggerakkan sebanyak 762 kakitangannya dalam menghadapi kejadian berkenaan.

“Saya ingin menzahirkan rasa syukur kerana tiada kematian dalam kejadian berkenaan. Tidak diisytiharkan juga darurat. Rakyat hendak penjenayah yang membuang sisa toksik di sungai itu diambil tindakan serta diheret ke muka pengadilan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Sambutan Hari Kesihatan Pergigian Sedunia 2019 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Chen Chaw Min dan Pengarah Dasar dan Perancangan Strategik Kesihatan Pergigian, Dr. Norliza Mohamed.

Dalam pada itu, ketika berucap, Dzulkefly memberitahu, lapan daripada 10 rakyat Malaysia tidak mengetahui bahawa mereka mempunyai penyakit berkaitan pergigian.

Beliau memberitahu, berdasarkan kajian, hanya 27.4 peratus orang dewasa mendapatkan pemeriksaan pergigian dalam tempoh satu tahun manakala hanya 42 peratus orang dewasa berjumpa doktor gigi dalam tempoh dua tahun.

Kata beliau, peratusan rendah tersebut kebanyakannya disebabkan oleh persepsi orang ramai bahawa mereka tidak mempunyai masalah mulut iaitu merangkumi 68 peratus daripada hasil kajian.

“Kenapa perkembangan ini berlaku? Sebab mereka lihat persoalan keterampilan gigi (oral presentation) ini lebih daripada sudut estetik. Mereka tertarik hanya kepada pemutihan serta kecantikan gigi.

“Ramai orang tidak berminat dengan nilai-nilai estetik dan akhirnya ia ditinggalkan begitu sahaja. Adalah sangat malang jika perkara seperti itu berlaku. Ini daripada paradigma umum bahawa gigi dikaitkan dengan kecantikan bukan penyakit seperti penyakit tidak berjangkit utama (NCD). Ini sangat mengecewakan,” katanya

Sementara itu, ketika sidang akhbar, Dzulkefly menasihatkan pihak media agar berhati-hati dalam membuat laporan berhubung kenyataannya bagi mengelakkan berlakunya kekeliruan termasuk melibatkan kenyataan beliau mengenai rawatan bekam dan tahap keselamatan Sungai Kim Kim sebelum ini.

Ditanya tentang dakwaan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bahawa 25 hingga 30 peratus penjawat awam mengalami tekanan emosi dengan sebahagiannya mempunyai kad rawatan psikiatri, beliau berkata, stigma terhadap pemegang kad berkenaan perlu diubah.

“Maksudnya, apabila seseorangan menjalani rawatan kemurungan, kerisauan melampau dan stres mereka tergolong dalam kategori pesakit. Dan perkara itu tidak perlu dijadikan stigma. Kalau ada pesakit berjumpa psikatrik, dalam kepala umum adalah mereka gila. Ini adalah sangat negatif.

“Perkara pertama perlu ditangani dalam hal ini adalah stigma. Satu daripada tiga orang di negara ini menghadapi salah satu daripada penyakit kemurungan, kerisauan melampau dan stres. Kesihatan mental adalah agenda kementerian untuk ditangani melalui pendekatan secara bertanggungjawab dan berkesan,” kata beliau. - UTUSAN ONLINE