Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, laporan awal tinjauan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mendapati hanya beberapa pengusaha ikan sungai mendakwa pendapatan mereka sedikit terjejas berikutan pencemaran tersebut.

“Setakat ini, tidak ada tanda-tanda besar melibatkan ikan dan sayur-sayuran.

“Saya telah minta pemantauan serius dibuat dan laporan terkini akan diumumkan sekiranya ada apa-apa berlaku,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan kempen pengharaman racun Paraquat, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Salahuddin berkata, pihaknya akan menyalurkan bantuan yang perlu jika penternak ikan dan petani mengalami kesan besar daripada insiden pencemaran sungai itu.

Pencemaran di Sungai Kim Kim yang berlaku pada 7 Mac lalu menjejaskan kesihatan ribuan orang awam di kawasan sekitar selain turut menyebabkan 111 sekolah di daerah Pasir Gudang ditutup.

Sementara itu ketika ditanya mengenai bantuan baja tambahan nitrogen, fosforus dan kalium (NPK) serta racun kepada 322,000 pesawah seluruh negara, Salahuddin memaklumkan, proses pengagihan untuk musim ini telah selesai.

“Bagi tahun depan, saya akan pastikan Belanjawan 2020 menyediakan peruntukan yang mencukupi untuk bantuan tersebut,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE