HAMZAH MOHAMAD

Pengarah JAS negeri, Hamzah Mohamad berkata, terdapat lebih empat lombong yang aktif di daerah seperti Tanah Merah serta Gua Musang dan pihaknya mendapati pencemaran yang berlaku adalah pada tahap minimum.

"Terdapat dua lombong yang aktif di Tanah Merah dan sedikit di Gua Musang, setakat hari ini tidak ada bahan cemar yang dilepaskan dari tapak perlombongan ke luar kawasan.

"Tugas kita adalah memantau, kita ada pasukan yang diketuai Penolong Pegawai Kawalan Tertinggi merancang, memantau, memberi khidmat nasihat jika berlaku ketidakpatuhan sebelum ia jadi lebih besar.

"Kita tidak boleh kata kita tidak boleh usik langsung apabila kita melombong, yang penting kita kawal pastikan syarat-syarat melombong dipatuhi," katanya selepas membentangkan kertas kerja di Seminar Hala Tuju Industri Mineral negeri Kelantan di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Program itu telah dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Seramai 150 peserta menghadiri seminar anjuran Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri dengan kerjasama Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK); Universiti Malaysia Pahang (UMP); Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) negeri dan JAS negeri.

Sementara itu,  Hamzah berkata, pihaknya mengakui sebenarnya tidak mempunyai kakitangan yang cukup namun ia bukan alasan tidak melakukan kerja sebaiknya.

Beliau berkata, terdapat 42 pegawai teknikal JAS yang menjalankan pemantauan di seluruh negeri ini.

"Kita ada dua pasukan khusus untuk memproses Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) di Gua Musang dan satu pasukan di Kota Bharu.

"Tenaga kita memang tidak ramai tetapi itu bukan alasan tidak menjalankan tanggungjawab sepenuhnya," katanya. 

Terdahulu, dalam ucapan aluannya di seminar itu, Pengarah PTG negeri, Datuk Zamri Ismail berkata, terdapat sejumlah lombong mineral yang beroperasi di negeri ini iaitu lima lombong emas; dua lombong bijih besi; dua lombong fosfat dan sembilan lombong mangan. - UTUSAN ONLINE