Perkara itu diakui Pengurus Besar Kanan Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB), Mohd. Suhaimi Mohd. Jusoh setelah menilai kandungan akhbar tersebut.

Pada masa sama, Mohd. Suhaimi berkata, pihaknya berbesar hati dengan pencapaian lima buah sekolah angkat JKSB selepas me­langgan akhbar pendidikan itu tahun lepas.

Katanya, kesemua lima sekolah tersebut berjaya menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan khususnya dari segi peratusan lulus serta pencapaian gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil.

“Ini kali kedua kita menaja akhbar pendidikan ini selepas kali pertama pada Mei tahun lepas.

“Kita berharap penajaan lebih awal ini dapat memberikan persediaan mencukupi kepada mereka sebelum menempuh peperiksaan sebenar,” katanya selepas majlis penyerahan akhbar Tutor Utusan di SK Permai Indah, di sini hari ini.

Sebanyak 12,800 naskhah Tutor akan diedarkan ke sekolah-sekolah berkenaan secara berperingkat dengan setiap sekolah rendah akan menerima 50 naskhah akhbar tersebut pada setiap minggu hingga 17 September ini.

Bagi sekolah menengah pula, sebanyak 50 naskhah Tutor PT3 akan diagihkan setiap minggu hingga 1 Oktober ini manakala Tutor SPM pula akan diagihkan sehingga 29 Oktober dalam kuantiti sama juga setiap minggu.

Dalam pada itu, Pengetua SMK Jawi, Mohd. Dziauddin Mat Saad mengakui keberkesanan akhbar Tutor dalam mengaplikasikan ele­men Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) seperti yang difokuskan oleh Kementerian Pendidikan ketika ini.

“Saya berharap usaha murni ini dapat dikekalkan atau mungkin boleh diperluas dalam bentuk buku-buku kerja yang lebih berkualiti,” kata­nya.

Sementara itu, bagi pelajar SMA Al-Ahmadiah Al-Itjimaiah, Muhammad Ihsan Muhammad Nasir, 15, pembelajaran tambahan menerusi akhbar Tutor dapat memperbaiki kelemahannya terutama dalam mata pelajaran Matematik.

Sree Tanusyaa, 12, dari SK Permai Indah pula berpendapat, kandungan Tutor bukan sahaja sangat menarik malah banyak membantunya memahami mata pelajaran tertentu.

“Saya suka baca Tutor kerana ia mudah difahami,” katanya yang memberitahu bahawa dia mengetahui mengenai akhbar itu melalui guru kelasnya.