Dalam perutusannya yang terkandung dalam Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) 2016 yang dikeluarkan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Jabatan Perdana Menteri hari ini, beliau berkata, pencapaian ketara NTP membuktikan usaha yang disumbangkan penjawat awam demi mewujudkan sistem penyampaian yang berkesan untuk memastikan kesejahteraan rakyat, katanya

"Pada masa ini, semua rakan sejawat dalam pentadbiran negara dan perkhidmatan awam diseru agar terus komited dalam usaha mencapai aspirasi negara berpendapatan tinggi dan terus memikul tanggungjawab dalam melaksanakan Program Transformasi Negara.

"Memandangkan pada 2016, NTP telah pun tiba di persimpangan di mana berlakunya peralihan tugas-tugas PEMANDU (Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan) kepada penjawat awam, dan disusuli penyempurnaan program ini pada 2020," kata beliau. Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Program Transformasi Kerajaan (GTP) berkata, antara pencapaian utama NTP adalah mengurangkan jenayah indeks kepada hampir separuh di antara 2010 hingga 2016, dengan mencatat penurunan purata 9 peratus setahun.

Beliau berkata, usaha kerajaan mengurangkan jenayah berjaya menjadikan rakyat berasa lebih selamat di mana Persepsi Penunjuk Jenayah mencatat penurunan yang nyata dalam kategori “perasaan takut rakyat menjadi mangsa jenayah” pada 2016. Pada 2016, sejumlah 7.28 juta isi rumah meraih manfaat daripada RM5.36 bilion dana Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diberikan kerajaan untuk membantu mereka yang berdepan dengan kenaikan kos sara hidup yang tidak dapat dielakkan.

"Turut diperkenalkan beberapa langkah memfokuskan pembangunan keusahawanan, seperti program 1AZAM (Program Akhiri Zaman Miskin) untuk meningkatkan pendapatan golongan miskin dan miskin tegar secara mampan," katanya.

Sementara itu, katanya, kadar enrolmen prasekolah kebangsaan meningkat kepada 85.56 peratus pada 2016 daripada 67 peratus pada 2009 dengan prasekolah kebangsaan mencapai kadar enrolmen hampir penuh bagi kumpulan umur lima tahun ke atas iaitu 92.1 peratus.

Menurutnya sebagai usaha penambahbaikan sistem pendidikan kebangsaan, program Sekolah Berprestasi Tinggi telah mengenal pasti 132 buah sekolah yang dijadikan model kepada sekolah-sekolah lain.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, dalam usaha memerangi rasuah, kerajaan dapat menyelesaikan sebanyak 74.4 peratus kes rasuah pada 2016 dalam tempoh setahun kes didaftarkan di mahkamah menerusi penubuhan 14 mahkamah rasuah khas di setiap negeri dan Wilayah Persekutuan.

"Sebagai sebahagian usaha kerajaan membanteras rasuah, Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik terus berinteraksi dengan kedua-dua pihak parti politik Malaysia ke arah memperkenalkan peraturan bagi pembiayaan, pengurusan dan pelaporan kempen politik," katanya.

Selain itu, pelancaran fasa pertama Mass Rapid Transit (MRT) Laluan 1 pada Dis 2016 menandakan kemuncak kejayaan sektor pengangkutan awam di bandar pada tahun berkenaan yang seterusnya memberikan petanda baik terhadap usaha kerajaan mewujudkan sistem pengangkutan awam bandar bertaraf dunia.

Menurutnya, pelancaran fasa pertama MRT itu melengkapkan penambahbaikan yang dilaksanakan terhadap tulang belakang rel Greater Kuala Lumpur/Klang Valley dengan Projek Sambungan Laluan LRT.

Bagi meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat luar bandar, sepanjang 6,041.7 kilometer jalan raya luar bandar telah dibina dan sepanjang 2,378.5 kilometer jalan raya disenggara sepanjang 2010 hingga 2016, katanya.

Kerajaan juga telah menyediakan akses air bersih kepada 350,094 buah rumah dan akses bekalan elektrik kepada 153,821 buah rumah, di samping membina dan membaik pulih 94,604 buah rumah untuk golongan miskin luar bandar.

"Semua inisiatif ini telah memberi manfaat kepada 6.2 rakyat Malaysia, sekali gus memastikan semua rakyat Malaysia meraih manfaat daripada usaha-usaha di bawah NTP dan mendapat akses kepada pelbagai peluang yang dicipta dalam ekonomi berpendapatan tinggi," kata timbalan perdana menteri. - Bernama