Pensyarah Kanan Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, mengambil contoh krisis kewangan di Amerika Syarikat (AS) pada 2007-08, banyak agensi penarafan memberikan penilaian tinggi kepada syarikat dan bank-bank di negara itu sedangkan sebenarnya mereka bermasalah.

Katanya, perkara itu jelas menunjukkan apa sahaja pandangan agensi penarafan tidak semestinya tepat dan jika dilihat kepada penilaian negatif untuk Petronas, tidak bermakna syarikat gergasi itu mempunyai masalah.

“Petonas tidak pernah mengalami kerugian malahan mencatat keuntungan sekitar RM45.5 bilion tahun lalu, meningkat 91 peratus berbanding RM23.6 bilion (2016). Jika keuntungan Petronas naik, bagaimana penarafan ini jadi negatif.

“Adakah penarafan negatif kerana Petronas terpaksa membayar dividen khas RM54 bilion? Petronas masih mempunyai lebihan tunai RM80 bilion. Jika harga minyak kekal tinggi sekitar RM292 ($70) setong, Petronas akan kekal stabil dan memberikan keuntungan,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Moody’s yang menurunkan penilaian Petronas kepada negatif berbanding stabil sebelum ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penilaian negatif diberikan satu agensi penarafan sahaja terhadap Petronas tidak akan memberikan impak besar terhadap syarikat tersebut.

“Kita kena faham, penilaian satu agensi penarafan sahaja tidak memberi impak kecuali jika agensi lain turut melakukannya. Jika itu berlaku, perkara tersebut akan beri kesan kepada untuk mendapatkan pembiayaan kerana kos pembiayaan akan meningkat. 

“Kalau kita lihat pegangan tunai Petronas masih lagi kukuh. Jika harga minyak turun, keuntungan juga menurun tetapi Petronas masih lagi mempunyai kewangan yang kukuh,” ujarnya.

Sementara itu, penganalisis ekonomi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Baayah Baba pula berkata, penilaian negatif yang diterima daripada pelbagai agensi penarafan antarabangsa perlu diambil kira kerajaan bagi mengelakkan pelabur lari.

“Jika dividen diambil daripada Petronas itu menjejaskan penarafan syarikat petroleum itu kepada negatif, itu mungkin akan menjejaskan keyakinan pelabur asing.

“Penarafan negatif akan memberi impak terhadap keyakinan pelabur asing kepada Malaysia. Jika itu berlaku, pasti sukar untuk negara menarik pelabur masuk ke negara ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE