Selain hilang tempat berlindung selepas kebanyakkan rumah ditelan ‘bah kuning’, penduduk di beberapa daerah terjejas teruk seperti Gua Musang, Kuala Krai dan Tanah Merah juga terpaksa berjuang meneruskan kehidupan khususnya apabila berdepan masalah terputus bekalan air serta elektrik.

Kini peristiwa yang telah memusnahkan kebanyakan kawasan di negeri itu sudah berlalu hampir dua bulan.

Dalam tempoh tersebut banyak bantuan seperti makanan serta kelengkapan lain disalurkan oleh pelbagai pihak kepada penduduk.

Mungkin tiada apa lagi diinginkan mereka selain mengharapkan masalah asas seperti bekalan air yang masih terputus di beberapa kampung khususnya di Gua Musang dapat diselesaikan.

Sejak bencana yang disifatkan terburuk dalam sejarah itu melan­da, hampir kesemua loji rawatan air di negeri itu rosak selain paip bawah tanah yang membekalkan air mengalami situasi sama.

Justeru, bagi mengatasi masalah bekalan air terutama di daerah Gua Musang dan Kuala Krai, Universiti Malaya (UM) baru-baru ini telah mengambil inisiatif menyediakan Penapis Ultrafitration (UF) di Kampung Pasir Linggi dan Kuala Sungai di sini.

Penapis UF yang berkemampuan menukar sumber air mentah sama ada air banjir, air sungai, telaga atau tasik kepada air bersih itu turut berkeupayaan membekalkan air kepada 250 hingga 300 penduduk sehari.

Penapis disediakan hasil kaji­an yang dijalankan oleh Ketua Jabatan Kejuruteraan Kimia, Fakulti Kejuruteraan Kimia, UM Prof Ir. Dr. Mohd. Azlan Hussain bersama-sama Timbalan Dekan Institut Pengajian Siswazah UM, Prof Dr, Mohamed Kheireddine Aroua itu sekaligus memberi kelegaan kepada kira-kira 700 penduduk di dua kampung terbabit selepas lebih sebulan terputus sumber bekalan air bersih.

Mohd. Azlan berkata, UF adalah satu proses yang memisahkan bakteria dan virus daripada sampel air bagi menghasilkan air yang selamat diminum.

Beliau berkata, tekno­logi ini sebenarnya telah lama digunakan untuk menghasilkan air minum dalam skala besar di beberapa buah negara selama beberapa tahun.

“Sebenarnya kajian UF sebelum ini adalah untuk mengitar semula air yang dibuang oleh industri supaya boleh digunakan semula sekaligus dapat menjimatkan kos operasi industri berkenaan, Namun apabila melihat kepada situasi penduduk yang terputus bekalan air bersih ini, kita perlu membantu,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Katanya, sebelum ini, UM telah meletakkan sistem UF di Kampung Sungai Durian, Kuala Krai dan Taman Awam, Kubang Gajah Temerloh Pahang bagi membekalkan air bersih kepada penduduk sekitar.

“Semasa di Temerloh, air bersih dihasilkan terus daripada air banjir dan boleh digunakan untuk memasak manakala untuk minum disarankan dimasak atau diletak klorin terlebih dahulu,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Khei­red­dine pula berkata, sistem UF adalah mudah alih yang boleh dibawa ke lapangan dalam masa singkat dan boleh memproses antara 600 hingga 700 liter air sejam bergantung kepada kualiti air.

“Bagi air banjir, air sungai, air tasik dan telaga, sistem ini boleh memproses sehingga 700 liter sejam. Bagi air yang sangat tercemar seperti industri, proses UF boleh menghasilkan air kitar semula untuk digunakan semula oleh industri dan memerlukan teknologi lain untuk menghasilkan air minuman,” katanya.

Dalam pada itu, Tok Batin Kampung Pasir Linggi, Ramli Bebas berkata, banjir besar yang melanda baru-baru ini telah memusnahkan hampir 20 buah rumah penduduk di kawasan itu.

Katanya, selain itu, mereka juga terpaksa bertahan dengan menggunakan sumber air bukit selepas terputus bekalan itu sejak lebih sebulan lalu.

Ujarnya, ketiadaan bekalan air sangat menyusahkan penduduk yang kebanyakanya kini tinggal di dalam khemah sementara.

“Lebih sebulan kami tidak dapat menikmati bekalan air bersih. Kami terpaksa berjalan sejauh satu kilometer (KM) setiap hari bagi mendapatkan air bukit di kawasan berhampiran.

“Air yang digunakan itu tidak bersih. Ada yang sakit-sakit namun mereka tiada pilihan lain ketika itu terpaksa mengunakan air daripada bukit ini. Hari ini kami dapat menikmati semula air bersih yang dibekalkan UM ini,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Maidin Abdullah, 47, berkata, dia mengucapkan terima kasih kepada UM kerana kesudian mereka membantu membekalkan air bersih kepada penduduk.

“Bekalan air bersih ini sangat bermakna kepada kami. Penduduk kini tidak perlu risau lagi, air yang dibekalkan UM selepas ditapis da­ripada air sungai berhampiran ter­nyata begitu bersih dan selamat digunakan,” katanya.