Satu sumber berkata, masyarakat Islam di negara ini berada di dalam zaman mencari agama dan mudah terpengaruh dengan perwatakan alim yang dibawa individu tertentu meskipun tidak mengetahui asal-usul pihak terbabit.

“Rakyat Malaysia pada hari ini mulai berpatah semula kepada zaman mencari agama. Mereka mahu mempelajari agama Islam yang sebenar dan mengamalkan kehidupan yang lebih baik mengikut lunas-lunas Islam.

“Situasi itu sebenarnya sa­ngat baik tetapi dalam keadaan yang fragile itu, golongan inilah yang mudah taksub. Mereka taksub melihat perwatakan alim individu tertentu, taksub melihat pemakaian jubah dan serban.

“Oleh demikian, setiap amalan yang ditunjukkan oleh tarekat asing boleh diterima baik meskipun tidak tahu sama ada ia mengikut pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah atau tidak,” kata sumber kepada Utusan Malaysia.

Tambah sumber lagi, ramai rakyat Islam di negara ini sebenarnya masih keliru tentang amalan tarekat berkenaan.

“Kebanyakan tokoh yang me­reka sanjungi itu berasal dari luar negara dan amalan yang dibawa mereka ini bukan budaya masyarakat Islam di sini.

“Itu menimbulkan kekeliruan pada ramai pihak namun tidak dipandang serius kerana terpengaruh dengan dakwaan sebagai salah satu ajaran Islam yang harus diamalkan,” katanya.