Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Rosmee Hamzah berkata, jumlah tersebut adalah yang terbanyak dalam sejarah Parlimen Malaysia.

“Ini merupakan hari ini dalam sejarah. Landskap Parlimen pada kali ini amat berbeza kerana kita dapat menyaksikan ada (anggota Parlimen) yang senior dan yang sangat-sangat muda seperti Yang Berhormat P. Prabakaran (Anggota Parlimen Batu) yang masih merupakan seorang pelajar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Taklimat Ahli-Ahli Dewan Rakyat Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat hari ini.

Justeru, katanya, sesi taklimat pada hari ini amat penting untuk anggota-anggota yang berhormat terutama yang baharu untuk memahami peraturan Dewan Rakyat khususnya seperti sesi pertanyaan jawab lisan dan bagaimana satu-satu rang undang-undang itu dikemukakan.

Dalam pada itu, katanya, sidang Parlimen ke-14 selama 20 hari itu juga akan menyaksikan kemunculan semula 11 anggota Parlimen yang dahulunya juga pernah berkhidmat sebagai MP manakala 121 lagi MP sidang Parlimen ke-13 sebelum ini yang berjaya dipilih semula pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei lepas.

Rosmee juga berkata pada taklimat hari ini anggota-anggota Parlimen turut diterangkan tentang persiapan hari pertama persidangan pada 16 Julai ini yang akan menyaksikan pemilihan dan pemahsyuran Yang Dipertua Dewan Rakyat, dan diikuti dengan upacara angkat sumpah 222 anggota Parlimen.

Sementara itu ketika ditanya berhubung calon Yang Dipertua Dewan Rakyat, beliau berkata, setakat ini pihaknya belum menerima usul daripada pihak kerajaan dan usul pencalonan jawatan itu mesti dikemukakan dalam tempoh 14 hari sebelum Parlimen mula bersidang atau selewat-lewatnya Isnin depan.

Katanya susunan tempat duduk anggota Parlimen di dalam Dewan juga hanya akan ditentukan selepas pelantikan kesemua menteri Kabinet dan timbalan menteri yang dijadualkan berlangsung Isnin depan.

“Selepas itu kita boleh mengatur tempat duduk lain seperti susunan kekananan penyokong kerajaan dan juga susunan pihak pembangkang di sebelah kiri,” katanya.

Beliau turut menambah anggota Parlimen perlu mengemukakan soalan bagi sesi pertanyaan jawab lisan selewat-lewatnya 29 Jun ini.- BERNAMA