Ada kalanya sesuatu jenayah itu berlaku disebabkan kecuaian ibu bapa dan penjaga, justeru, tidak adil untuk remaja atau kanak-kanak sahaja yang dihukum, bagaimana dengan ibu bapa atau penjaga mereka?

Sehubungan itu, pada 2008 kerajaan mewujudkan hukuman alternatif selain hukuman pemenjaraan iaitu Perintah Khidmat Masyarakat (PKM). Dalam temu bual dengan wartawan Utusan Malaysia, MUZDALIFAH MUSTAPHA di Putrajaya, Pengarah Bahagian PKM, HEZLEEN HASSAN menjelaskan secara terperinci mengenainya.

 

UTUSAN: Apakah itu Perintah Khidmat Masyarakat (PKM)?

HEZLEEN: PKM adalah hukuman alternatif bagi menggantikan hukuman pemenjaraan. Tujuannya untuk memberi pemulihan dan mencegah pesalah muda daripada mengulangi ke­salahan lalu dan mengembalikan mereka ke pangkuan masyarakat melalui tiga elemen iaitu hukuman, pemulihan dan keinsafan.

Adakah PKM terletak di bawah mana-mana peruntukan undang-undang?

Ia termaktub di bawah Pe­renggan 293(1)(e)(i) Kanun Ta­tacara Jenayah iaitu perintah khidmat masyarakat terhadap pesalah muda berumur 18 tahun ke atas dan di bawah 21 tahun. Ia juga di bawah Akta Kanak-Kanak (Pindaan) 2016, hukuman PKM bagi kesalahan di bawah Seksyen 31,32 dan 22 ke atas mana-mana orang yang mempunyai pemeliharaan, jagaan dan kawalan ke atas kanak-kanak. Dan di bawah Akta Kanak-Kanak (Pindaan) 2016, PKM di bawah Seksyen 91(1)(da) dan Seksyen 97A ke atas kanak-kanak yang berumur 10 hingga 18 tahun.

Bagaimana PKM berfungsi?

Ia adalah kerja yang dilaksanakan tanpa bayaran bagi tempoh tidak melebihi 240 jam agregat pada masa dan tempat yang ditentukan oleh mahkamah dan diselia oleh kakitangan awam, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pesalah-pesalah yang digelar sebagai ‘pelatih' itu akan menjalankan PKM melalui kerja-kerja komuniti seperti di rumah-rumah kebajikan, kawasan-kawasan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) contohnya, membersihkan pasar malam, masjid dan kawasan perkuburan dan pelbagai lagi. Tempoh PKM diputuskan oleh pihak mahkamah yang menjatuhkan hukuman. JKM hanya menguruskan dan menyediakan perkhidmatan pemulihan secara cekap dan berkesan kepada pesalah.

Apakah jenis kesalahan yang dilakukan oleh pelatih di bawah PKM?

Jenis kesalahan adalah ke­salahan kecil yang dibenarkan oleh mahkamah untuk menjalani hukuman di luar penjara. Antara kesalahan itu seperti membawa kenderaan secara bahaya di jalan raya, merempit, dadah, mencuri dan paling berat setakat ini adalah membunuh tanpa niat.

Selain hukuman melakukan kerja komuniti, adakah terdapat bentuk hukuman lain?

Dalam memenuhi jumlah agregat hukuman yang ditentukan oleh pihak mahkamah, menyertai program-program pemulihan turut dibenarkan untuk mengurangkan jumlah agregat hukuman.

Pelbagai program diatur bagi menyokong usaha pemulihan pelatih PKM yang berada dalam lingkungan usia produktif dan mempunyai prospek masa de­pan yang panjang seperti program kerjaya, program bersama ibu bapa, kem jati diri, kem ke­rohanian dan kem integrasi PKM.

Adakah pelatih benar-benar insaf selepas menjalani latihan PKM?

Berdasarkan semakan rekod jenayah terhadap bekas pelatih PKM daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak Januari 2014 sehingga April 2016, daripada sebanyak 1,396 maklumat yang diberi, seramai 1,283 orang pelatih telah diperiksa rekod dan 90 peratus daripadanya tidak melakukan kesalahan jenayah berulang.

Bukan itu sahaja, malah dalam kalangan bekas pelatih itu mereka telah mencipta kejayaan selepas tamat latihan. Apa yang menarik, kejayaan mereka itu tercetus daripada program-program yang disertai sepanjang tempoh latihan. Kini terdapat pelatih yang berjaya memperoleh pendapatan RM20,000 sehingga RM40,000 sebulan.

Apakah hasrat PKM pada masa akan datang?

Bagi tahun 2018 PKM akan melaksanakan dua program baharu iaitu Program Show Your Ta­lent (Peringkat Kebangsaan). Menerusi program itu pelatih akan memberi perkhidmatan percuma kepada masyarakat yang memerlukan seperti gunting rambut dan pemeriksaan kenderaan.

Program kedua adalah Tri­angle Discussion (3D), ia adalah sebuah program perbincangan yang akan menggantikan simposium. Perbincangan tersebut akan me­liputi topik seperti kekhilafan perintah, pelanggaran perintah, tafsiran undang-undang dan pelbagai lagi.