Dalam masa sama, pergerakan itu juga mempersoalkan mengapakah peruntukan yang diluluskan kerajaan terdahulu untuk program pembangunan aset air di Kedah yang sekali gus bakal menyelesaikan krisis bekalan sumber berkenaan di negeri ini tidak diteruskan.

Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO negeri, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, antara projek tersebut adalah seperti menaik taraf lima Loji Rawatan Air (LRA) di Pelubang, Jenun Baru, Bukit Selambau, Sungai Limau dan Lubuk Buntar Lama selain projek bekalan air luar bandar.

"Malangnya apabila kerajaan diambil alih oleh PH, pelbagai projek ini difahamkan telah dihentikan. Krisis bekalan air di Kedah dilihat semakin meruncing dan memerlukan penyelesaian segera.

"Kami mendesak kerajaan PH sudah-sudahlah hanya memberi penyelesaian jangka pendek terhadap masalah air di Kedah namun keutamaan boleh pula diberikan kepada projek-projek mega yang entah bila bakal terlaksana," katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, Utusan Online melaporkan kira- kira 50,000 penduduk di kawasan Merbok terjejas teruk berikutan krisis bekalan air yang melanda daerah itu sejak hampir sebulan lalu.

Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Muhammad Sanusi Md. Nor dilaporkan berkata, krisis tersebut disifatkan paling buruk dalam tempoh 20 tahun selain menggesa kerajaan segera membina LRA di Bukit Selambau.

Katanya, pembinaan loji tersebut sahaja dilihat sebagai langkah paling berkesan untuk menyelesaikan masalah ini khususnya apabila negeri ini dilanda musim kemarau seperti sekarang.

Sementara itu, Syed Mohd. Johan mempersoal tindakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang memaklumkan bahawa projek pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Kulim adalah melalui pembiayaan swasta.

"Pada 19 Mac lalu, Mohamed Azmin mengumumkan kerajaan telah meluluskan peruntukan RM1.6 bilion untuk projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim, tetapi hari ini beliau mengubah nada dengan berkata projek mega itu akan dibiayai swasta.

"Selepas dikritik mengenai pengumuman berkenaan berikutan kerajaan selalu 'menjaja' tiada wang tetapi mempunyai dana bagi membina lapangan terbang, tiba-tiba dalam masa dua hari kerajaan mengubah pendirian.

"Pemuda UMNO Kedah melihat sandiwara Azmin ini satu lagi cubaan bagi menipu rakyat. Hanya bagi menyedapkan perkataan bagi pengucapnya dan menguja mereka yang mendengar," katanya.- UTUSAN ONLINE