Khairul Azwan Harun
Khairul Azwan Harun

Selain AADK, Persatu­an Men­cegah Dadah Malaysia (Pema­dam) juga perlu dirombak secara menyeluruh kerana kewujudan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu tidak begitu dirasai oleh masyarakat terutama golongan muda selaku kumpulan penagih terbesar di negara ini.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, langkah-langkah drastik itu perlu diambil dengan kadar segera oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku menteri bertanggungjawab berhubung hal ehwal dalam negeri.

“Pemuda UMNO menyokong penuh agenda Timbalan Perdana Menteri ini kerana sudah sampai masanya pelan strategik menyeluruh yang menggunakan pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dilaksanakan, jika kita benar-benar serius mahu memerangi dadah.

“Tetapi usaha ini mesti bersifat drastik dan langkah pertama ialah menjenamakan semula AADK dan Pemadam. Pemuda melihat kedua-dua agensi ini ketinggalan dalam konteks arus perdana ge­nerasi muda dan kewujudannya tidak begitu dirasai,” kata­nya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini, hari ini.

Pelan Strategik Memerangi Dadah Kebangsaan itu adalah langkah susulan kepada pengisytiharan Ahmad Zahid bahawa 2016 merupakan tahun meme­rangi dadah serta pengumuman jihad beliau untuk memastikan ancaman dadah di negara ini diperangi secara habis-habisan.

Pengumuman mengenainya di­buat selepas Utusan Malaysia dalam laporan bersirinya bermula 15 Mei lalu mendedahkan mengenai barah tersebut dengan menjadikan masalah dadah ne­geri pantai timur dan utara tanah air sebagai persampelan bahaya sebenar dadah.

Mengulas lanjut, Khairul Azwan berkata, pelan strategik itu nanti juga perlu mengatasi kelopongan dan kelemahan sistem sedia ada yang menjurus kepada kegagalan usaha kerajaan memerangi dadah walaupun sudah mengisytiharkan sebagai musuh nombor satu negara sejak 1983.

“Pemuda juga mahu dalam pelan strategik ini mesti ada elemen dan komponen pendidikan menyeluruh seawal prasekolah hingga ke peringkat paling tinggi serta skopnya pula harus merentasi semua bahagian dalam komuniti kerana dadah adalah musuh bersama,” katanya.