Tinjauan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Alor Setar, di sini mendapati, biarpun pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyediakan kaunter khas untuk pemohon, syarat-syarat yang dikenakan tetap membingungkan sebahagian mereka.

Warga emas yang hanya mahu dikenali sebagai Mat Zin berkata, syarat yang meminta pemohon menyediakan sijil nikah amat menyukarkan pasangan berusia sepertinya yang telah berpuluh-puluh tahun melangsungkan perkahwinan.

Lelaki berusia 70-an itu berkata, dia tidak menyangka urusan membantu rakyat lebih rumit di bawah kerajaan hari ini berbanding Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang boleh diselesaikan dalam jangka pendek sebelum ini.

"Masa BR1M dulu, urusan sangat mudah dan tiada dokumen-dokumen seperti sijil nikah diperlukan dan kali ini, kalau tiada sijil nikah kena kemukakan surat beranak anak pula, mana nak cari semua itu kerana anak-anak pun dah besar (dewasa).

"Kerajaan sepatutnya permudahkan urusan kami kerana kos sara hidup hari ini pun bukan bertambah baik tetapi makin teruk," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Pesara kerajaan, Che Abdul Halim Awang, 64, pula berpendapat, syarat yang dilakukan itu memang bagus jika mahu menapis penerima-penerima yang tidak layak tetapi golongan seperti mereka turut terkena tempias.

"Kasihan warga-warga emas di kampung, ada yang kata sudah tidak mahu mohon BSH kerana prosesnya kini lebih sukar, kata mereka buat apa susah-susah kalau jumlah bantuan pun telah dikurangkan.

"Tetapi, usaha LHDN buka kaunter khas seperti ini perlu dipuji termasuk membahagikan kaunter pendaftaran mengikut kategori seperti warga emas dan pemohon-pemohon lain," katanya.

Sementara itu, Azizah Shahid, 66, berkata, dia beruntung kerana anak-anak membantunya untuk mengisi borang permohonan BSH termasuk menyediakan dokumen-dokumen yang diperlukan.

"Dokumen yang diminta memang saya ada simpan lagi, jadi tidak jadi masalah sangat tetapi ada yang saya dengar tiada dokumen-dokumen penting kerana banjir dan sebagainya, itu susah sikitlah sebab nak kena buat semula demi mendapat bantuan sara hidup ini," katanya. - UTUSAN ONLINE