Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz berkata, kerajaan sangat berharap supaya setiap peminjam PTPTN memulakan pembayaran mengikut jadual telah ditetapkan.

"Pembayaran balik penting kerana ia akan digunakan semula untuk membantu pelajar baharu yang memerlukan PTPTN," katanya selepas majlis 'Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Talk' sempena Hari Terbuka Unit Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni (ICAN) di Dewan Seri Semarak, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis, di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan, Othman turut menyampaikan Baju Korporat Mesra Media Perlis kepada wakil agensi media.

Yang turut hadir, Rektor UiTM Arau, Zailuddin Ariffin.

Othman menambah, peminjam yang mempunyai kesulitan dalam membuat pembayaran balik perlu hadir ke pejabat PTPTN untuk berbincang supaya pembayaran dapat dibuat mengikut kemampuan.

Beliau berkata, ini lebih baik daripada tidak menjelaskan langsung pinjaman PTPTN.

Tambahnya, peminjam turut dinasihatkan jangan lari dari tanggungjawab ini sehingga terpaksa dicari oleh PTPTN. - UTUSAN ONLINE