Biasanya lelaki itu akan muncul kira-kira setengah jam selepas sesi busking kami bermula. Dengan langkah gontai, dia akan berjalan mencari mana-mana bangku kosong. Hanya selepas merebahkan punggung, barulah matanya akan tertancap pada kami. Aku tak tahu tentang yang lain, tapi aku dapat merasakan dia sebenarnya selalu memandang caraku memetik gitar.

Mungkin ini terdengar aneh, tapi aku suka diperhatikan ketika bermain gitar. Tuhan saja yang tahu betapa payahnyauntuk menguasai chord, scales dan cara-cara menggayakan antara keduanya. Semuanya aku belajar sendiri. Terima kasih kepada guru paling utamaku: Google dan YouTube. Tanpa mereka, mungkin aku tak akan mampu untuk memetik satu chord sekalipun.

Pada suatu malam, ketika sedang menggoreng solo lagu Hotel California, lelaki itu bangun dari tempat duduknya dan tercegat memandangku. Wajahnya tampak benar-benar takjub. Mulutnya terlopong sedikit. Dan apabila solo itu habis, dia bertepuk tangan seolah-olah baru saja melihat Joe Walsh dan Don Felder beraksi. Mujurlah aku tidak menggunakan gitar double neck. Jika tidak, pasti mulutnya akan lebih terlopong dengan lebih besar.

Pada malam yang lain, dia terkesima lagi. Selepas aku menggoreng solo lagu Seize the Day, dia bangun dan bertepuk tangan. Tanpa dia sedari, tepukan gemuruhnya itu telah mengajak penonton-penonton lain untuk bertepuk sama. Tuhan saja yang tahu betapa terharunya aku ketika itu. Lebih terharu berbanding melihat wang yang dicampakkan penonton ke dalam beg gitar.

Namun, keterharuanku tidak kekal lama malam itu. Kerana beberapa minit kemudian, hujan mulai turun. Kelam-kabut dibuatnya. Mujurlah kami sempat berkemas sebelum hujan lebat. Sementara menunggu hujan reda, kami duduk di kedai mamak berhampiran sambil menonton siaran langsung perlawanan bola sepak.Sambil menonton perlawanan bola sepak, sambil itulah mataku meliar. Sehinggalah beberapa minit kemudian, mataku menangkap kelibat seseorang. Tidak jauh dari situ, lelaki berpakaian korporat sedang duduk memerhatikanku.

Aku leretkan senyuman, dan dia membalas. Mungkin itulah masa terbaik, fikirku, untuk berkenalan dengan dia. Selepas melihat kekagumannya, rasa ingin tahuku tentang dirinya makin membuak-buak. Tapi jangan salah faham; orientasi seksualku masih teguh dan normal. Tiada apa-apa yang serius, cuma perasaan ingin tahu.

Setelah beberapa kali mencicip teh O panas dan menghabiskan sebatang rokok, aku bangun ke kaunter untuk mengambil tisu. Lalu di hadapan mejanya, aku leretkan satu lagi senyuman dan dia membalas. Selepas menimbang-nimbang, aku mampir ke mejanya sambil menghulur tangan dan memberi salam.

Dia tercengang seketika sebelum menjawab salam dan menyambut tanganku. Meskipun keadaan agak dingin, tapi tangannya terasa panas. Barangkali itu perkara normal. Sebab aku pun tak ingat bila kali terakhir bersalam dengan orang ketika cuaca dingin. Lebih tepat lagi, aku tak pernah mengambil berat pun tentang suhu tangan orang ketika bersalam. Tapi dengan lelaki itu, semuanya menjadi lain.

Selepas berbasa-basi, barulah aku tahu namanya. Basri. Bekerja di sebuah syarikat berhampiran. Katanya, memang setiap hari dia akan pulang lewat. Hidup bujang tidak mendesaknya untuk pulang awal. Dia tak tahu apa hendak dilakukan jika pulang awal. Bosan. Jadi, lebih baik dia pulang lewat untuk siapkan semua kerja yang tertangguh.

“Abang minat muzik ke?” soalku.

“Bolehlah.” Dia tertawa kecil. “Tapi tak adalah minat sangat. Cuma minat macam tu je. Tak tahu apa-apa pun pasal muzik sebenarnya.”

Itulah pengakuan paling jujur pernah aku dengar. Meskipun seorang hamba kerja, dia masih ada lagi masa untuk menghargai seni. Sukar untuk temukan orang seperti Basri. Yang sudah bekerja, rata-ratanya tidak lagi peduli tentang seni.

“Awak dah lama ke main muzik?” soalnya pula.

“Boleh tahanlah,” balasku.

Semuanya bermula apabila seorang kawanku mula belajar bermain gitar semasa di sekolah menengah. Dalam kalangan pelajar sekolah, bermain gitar itu suatu perkara yang cool. Lebih-lebih lagi untuk memikat perempuan. Aku tekad mengumpul duit selama berbulan-bulan hanya untuk membeli sebuah gitar akustik. Tapi gitar itu diletakkan di rumah kawanku kerana ibu dan ayah melarangku untuk bermain gitar. Kata mereka, gitar hanyalah untuk remaja yang tiada masa depan. Tapi mereka tak tahu bahawa aku sering ke rumah kawanku itu untuk bermain gitar dengan alasan hendak belajar secara berkumpulan. Sehinggalah pada suatu petang…

“Kau pergi mana sebenarnya ni?! Baik kau cakap betul-betul?!”

Aku masih ingat lagi bagaimana bengisnya wajah ayah ketika itu. Bercekak pinggang di ruang tamu sambil memegang rotan buluh. Itu satu petanda buruk, dan akan bertambah buruk jika aku menipu. Jadi, aku berterus-terang sahaja. Dan hasilnya, berbirat-birat badanku hari itu.

“Lepas tu apa jadi?” tanya Basri. “Kau berhenti main muzik?”

“Tak. Saya main lagi, tapi dah tak kerap macam selalu.”

Basri terangguk-angguk. Riak wajahnya nampak seperti ingin meluahkan sesuatu. Bibir bergetar-getar. Barangkali teragak-agak untuk bercakap ataupun tidak.

“Abang pulak macam mana? Tak pernah belajar main muzik ke?”

Dia meneguk liur. Halkumnya bergerak. Barangkali kata-kata yang tersekat tadi ditelan masuk ke dalam perut. Diganti dengan kata-kata yang baru. Katanya, dia memang bercita-cita untuk bermain muzik sejak di sekolah rendah lagi. Tapi dia turut menghadapi kekangan daripada orang tuanya. Muzik itu melalaikan, kata ibunya, buat lagi makin malas nak belajar.

“Tak cuba belajar senyap-senyap ke?” soalku.

“Tak.” Dia menggeleng. “Sebab masa tu mak abang janji akan bagi abang main muzik kalau abang cemerlang dalam UPSR. Katanya, dia nak pinjam dulu cita-cita abang tu. Dia kata, dia akan bagi balik cita-cita tu dengan sebiji gitar kalau keputusan UPSR abang cemerlang.”

“Dan…?”

“Abang cemerlang, tapi tak ada gitar pun.” Dia tertawa kecil. Tawa pahit yang dibuat-buat.

Masih belum terlambat, jelasku. Muzik bukan suatu diskriminasi. Sesiapa saja boleh mempelajari muzik. Tidak kira tua atau muda, lelaki atau perempuan; muzik itu bersifat universal dan boleh menjadi milik sesiapa sahaja.

“Baiklah. Kalau macam tu, esok abang datang lagi. Nanti kau ajar abang eh?”

“Boleh bang. Jangan segan-segan.”

Keesokan harinya, dia tidak muncul. Jenuh mataku meliar semasa memetik gitar. Tiada satu pun kelibat berbaju korporat membawa beg komputer riba. Yang ada hanyalah beberapa orang muda dan keluarga yang lalu-lalang. Lebih tepat lagi, tiada yang berdiri seorang diri pun di situ. Semuanya berpasangan.

Kira-kira jam 12 malam, selepas habis bermain muzik, aku melihat seseorang sedang melangkah gontai tidak jauh dari situ. Aku kenal orang itu. Tanpa menunggu lama, aku berlari mendapatkannya.

“Kenapa tak datang tadi?” soalku sejurus menepuk bahunya.

“Maaf.” Wajahnya nampak resah. “Hari ni kerja banyak. Tak sempat pulak nak siapkan awal macam selalu.”

Aku menawarkannya untuk datang hari lain. Kalau tak boleh esok, bila-bila pun boleh, kataku. Tapi wajahnya mula berubah. Selepas mengerling ahli kumpulanku sekilas lalu, dia menyatakan bahawa dia sebenarnya segan. Mungkin aku tidak berasa apa-apa, tapi dia malu dengan teman-temanku yang lain.

“Janganlah macam tu bang,” pujukku. “Kawan-kawan saya semua okey je kalau abang nak belajar. Lagipun...”

“Macam inilah,” celahnya, bernada serius. “Betul kau tak kisah nak tolong abang ni?”

Aku mengangguk.

“Kalau macam tu, jumpa abang dekat kedai mamak semalam lepas habis kemas nanti. Abang tunggu kau dekat sana. Boleh?”

Aku bersetuju. Lagipun, aku memang tiada apa-apa hal selepas busking. Biasanya akan terus balik ke rumah untuk tidur. Bermain muzik memang penat sebenarnya. Lebih-lebih lagi bila memegang dua peranan, vokalis dan gitaris.

Usai mengemas, aku ke kedai mamak seperti yang dijanjikan. Selepas berbasa-basi tentang rutin harian (kami), dia akhirnya menyatakan hasratnya yang kedengaran benar-benar aneh.

“Boleh tak abang pinjam cita-cita kau?”

Tergamam sebentar. Itulah kali pertama aku mendengar permintaan yang boleh dikatakan… agak mengarut. Tapi kerana wajahnya tampak benar-benar terdesak, aku terus bersetuju. Ya, aku bersetuju kerana menganggap permintaan itu sekadar satu perkara untuk memuaskan hatinya.

Tapi aku tersilap.

Hari ini, dia sedang bermain gitar bersama ahli-ahli kumpulanku dengan penuh tangkas dan bertenaga. Di atas bangku ini, aku duduk memerhatikannya dengan mulut separa lopong dan sedikit rasa kecewa. Ditemani alunan solo lagu Seize The Day, aku berharap sangat suatu hari nanti dia akan mengajakku ke kedai mamak untuk memulangkan cita-cita yang pernah dipinjamnya dahulu.