Situasi industri muzik Kelantan bagaimanapun dikatakan tidak begitu terjejas kerana produk kebanyakan penyanyi tempatan kurang di­cetak rompak. Ini termasuklah cakera padat (CD) atau cakera padat video (VCD) penyanyi yang sedang top se­perti Man Khan.

Mengulas perkara tersebut, komposer dan penerbit, Hamzan Hassan berkata, peminat lagu-lagu Kelantan tidak mempunyai sebab untuk membeli cetak rompak kerana harga produk asli sudah cukup rendah dan berpatutan.

“Kalau muzik arus perdana, harga CD atau VCD asli mencecah RM29.90 hingga RM49.90 sekeping. Harga itu terlalu tinggi, jadi peminat sanggup membeli produk cetak rompak yang dijual pada harga sekitar RM10 hingga RM15 sekeping.

“Muzik Kelantan berbeza. Harga CD atau VCD asli sekitar RM10 hingga RM15 sekeping sahaja. Malah ada yang berani jual lebih murah daripada itu.

“Kalau produk original pun sudah murah, sudah pasti peminat mahu beli yang original kerana kualiti lebih bagus. Keadaan ini menyebabkan lanun cetak rompak tidak boleh cari makan,” katanya.

Hamzan berkata, keadaan itu terbukti apabila dalam keadaan ekonomi negara yang agak lembap sekarang, rata-rata album penyanyi Kelantan yang popular masih mampu terjual sekitar 30,000 hingga 50,000 unit.

“Ketika jualan album penyanyi arus perdana merudum sehingga sukar mencecah 10,000 unit, album salah seorang penyanyi Kelantan, Man Khan yang bertajuk Tok Seh Karpet 2 pula masih mampu terjual lebih 50,000 unit walaupun tidak diberi publisiti di akhbar atau televisyen.

“Jika mahu berjaya dalam industri ini, penyanyi kena bijak merangka strategi termasuk aktif keluarkan lagu atau album baharu bagi setiap enam bulan,” katanya.