MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN
MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN

Mufti negeri, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin yang menyifatkan golongan itu sebagai virus berkata, mereka bukanlah pembawa inspirasi rakyat sebaliknya hanya merosakkan masa depan negara.

Kata beliau, golongan itu sepatutnya menumpukan kepada isu-isu urus tadbir dan pembentukan sistem yang membawa impak kepada integriti dan perpaduan dalam kalangan rakyat.

“(Malangnya) yang terlibat dengan pengganas LTTE (Harimau Pembebasan Tamil Eelam) sibuk mahu menghantar pendakwah muslim ke India.

“Ada pula yang viral (tular) ‘Melayu sebagai pendatang’ dan meminta menteri Melayu yang tidak menunaikan hasrat kaumnya agar meletak jawatan,” katanya dalam catatan Facebook miliknya di sini hari ini.

Menurut Mohd. Asri, kesemua tuntutan yang bersifat di awal kemenangan PRU itu hanya membakar perasaan perkauman dalam kalangan rakyat.

Tegas beliau, mereka yang membuat tuntutan seperti itu harus disingkirkan segera dan jika tidak bakal membawa kepada konflik perkauman yang sukar diubati.

“Hari demi hari, perasaan kecewa dan dendam perkauman mula diserapkan. Daripada rasa gembira dengan PH, mula menjadi rasisme yang tinggi.

“Setiap saat kita melihat perasaan ingin bangkit dalam kalangan majoriti rakyat membalas tindak-tanduk perkauman mula merebak,” katanya. - UTUSAN ONLINE