Mereka memuji pembaruan yang dilakukan Kumpulan Utusan itu dan menyifatkan langkah tersebut seiring dengan peredaran masa di mana para pembaca lebih selesa membaca akhbar bersaiz kecil berbanding berbentuk besar.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Dr. Ammar Hassan berkata, wajah baharu akhbar Utusan Malaysia yang bersaiz kompak cukup menarik, ringkas sekali gus lebih mudah dibaca dan dibawa ke mana-mana.

Dalam masa sama, beliau turut berharap perubahan tersebut bukan sahaja daripada segi luarannya sebaliknya daripada isi kandungan agar semua lapisan masyarakat dapat membeli dan terus membaca akhbar berkenaan.

“Selain memuatkan info dan ulasan politik, disarankan juga agar Utusan Malaysia terus menulis isu-isu kemasyarakatan yang boleh mengubah minda masyarakat termasuk berita-berita baharu dunia antarabangsa. Syabas dan tahniah Utusan Malaysia,” katanya di sini hari ini.

Pengasas PKR negeri yang juga calon Ketua PKR Cabang Kangar, Ko Chu Liang berkata, pembaharuan saiz akhbar Utusan Malaysia yang lebih kecil kelihatan lebih kemas dan mudah dibaca.

Katanya, selain berwajah baharu, laporan Utusan Malaysia sejak akhir-akhir ini khususnya berkaitan politik juga dilihat seimbang dan adil apabila memberi ruang kepada semua parti politik.

“Saya harap seiring dengan perubahan zaman ini, Utusan Malaysia terus relevan dan kekal sebagai akhbar nombor satu di negara ini,” katanya yang tidak pernah ketinggalan membaca akhbar Utusan Malaysia sejak zaman remaja lagi.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Perlis, Mohd. Shukri Ramli berkata, beliau mengucapkan tahniah kepada Kumpulan Utusan yang melakukan pembaharuan terhadap akhbar keluarannya itu sehingga kelihatan lebih segar dan menarik.

Selain itu, beliau juga memuji isi kandungan akhbar tersebut yang bukan sahaja menfokuskan isu-isu politik tetapi mengenengahkan hal-hal berkaitan kepentingan Melayu dan Islam.

“Saya harap orang ramai terus memberikan sokongan kepada akhbar paling berpengaruh ini (Utusan Malaysia),” katanya.

Ketua Penerangan UMNO negeri yang juga Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim pula berharap agar seluruh rakyat terus memberi sokongan kepada akhbar Utusan Malaysia.

“Inilah masanya terutamanya orang Melayu khususnya kepada ahli-ahli UMNO untuk memberi sokongan kepada Utusan Melayu,” katanya. - UTUSAN ONLINE