Tindakan syarikat yang tidak bertanggungjawab itu mungkin meng­­akibatkan kerajaan ke­kurangan dana untuk meneruskan pemba­ngunan negara dan menyediakan kemudahan untuk rakyat tetapi dalam masa yang sama, syarikat-syarikat terlibat ‘bergembira’ de­ngan keuntungan yang tinggi.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Ma­laysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, de­ngan pengurangan hasil daripada sumber petroleum pada masa ini, kerajaan kini banyak bergantung kepada hasil kutipan cukai termasuk GST untuk membiayai perbe­lanjaan negara.

Menurutnya, walaupun rakyat adalah golongan yang menanggung beban besar apabila GST diperkenalkan oleh kerajaan sejak dua tahun lalu tetapi mereka jugalah golongan yang akan menikmati kesan utama dan kemudahan daripada cukai itu menerusi pembangunan dan penyediaan kemudahan seperti infrastruktur oleh kerajaan.

‘‘Apabila hasil petroleum, yang sebelum ini menyumbangkan sebanyak 40 peratus daripada pendapatan negara, me­nurun, kerajaan kini bergantung kepada cukai terutama GST untuk meneruskan agenda pembangunan.

‘‘GST bukan kos kepada peniaga, se­baliknya cukai itu dibayar oleh rakyat melalui syarikat ya­ng menjual bara­ngan atau yang menawarkan perkhid­matan tertentu dan sepatutnya GST ya­ng dikutip itu diserahkan kepada kerajaan. Bukankah mengkhianati rakyat namanya jika cukai itu tidak dise­rahkan kepada kerajaan,’’ katanya di sini baru-baru ini.

Pada tahun pertama GST diper­kenalkan, kerajaan me­ngu­tip sebanyak RM29 bilion iaitu bagi tempoh sembilan bulan dan meningkat kepada RM41.2 bilion pada tahun 2016 dan menyasarkan kutipan antara RM40 bilion dan RM42 bilion pada tahun ini.

Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Sheriff Mohd. Kassim pernah menulis bahawa jika GST yang pernah dicadangkan di Dewan Rakyat 25 tahun lalu dilaksanakan pada waktu itu, kerajaan hari ini tidak perlu risau lagi tentang harga petroleum dunia dan kelembapan ekonomi dunia.

Namun, Mohd. Sheriff menambah, walaupun baru dua tahun diper­kenalkan, GST disam­but baik oleh masyarakat kewa­ngan dan ahli ekonomi selain mendapat pujian daripada institusi antarabangsa ketika defisit belanjawan negara dilihat sema­kin meningkat sehingga mencecah tujuh peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Mohd. Yusof seterusnya berkata, tiada alasan untuk mana-mana syarikat untuk tidak membayar GST yang dikutip daripada rakyat kerana syarikat-syarikat terbabit juga boleh membuat tuntutan-tuntutan tertentu mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Malah, katanya, untuk kos seperti bil elektrik, air dan utiliti lain yang turut dikenakan GST, syarikat terbabit boleh menjadikan sebagai sebahagian daripada kos operasi untuk mendapatkan pelepasan cukai.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pengenalan GST oleh kerajaan adalah satu langkah yang tepat kerana struktur cukai tersebut lebih menyeluruh dan telus berbanding cukai jualan dan perkhid­matan (SST) yang mudah dimanipulasi oleh syarikat-syarikat yang tidak bertanggungjawab.

Katanya, setiap syarikat dan individu di negara ini perlu sedar bahawa sistem percukaian negara adalah komitmen jangka panjang semua pihak demi kesejahteraaan rakyat dan kemajuan negara ini.

‘‘Oleh itu, untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, kerajaan tidak ada jalan lain kecuali perlu meningkatkan kutipan hasilnya dengan mengemas kini dan memantapkan sistem percukaian negara.

‘‘Justeru, kerajaan perlu tegas dalam menguatkuasakan GST bagi memastikan jumlah kutipannya mencapai sasaran dengan bertindak tegas terhadap syarikat-syarikat yang cuba lari atau mengelak daripada membayar cukai,’’ katanya.

Beliau berkata, Jabatan Kastam Diraja Malaysia perlu me­ningkatkan kemantapan pasukan penguatkuasaannya supaya sesiapa sahaja yang dikesan cuba lari atau menipu cukai dapat dibawa ke muka pengadilan de­ngan segera.

Katanya, gerakan pendaftaran perniagaan termasuk usahawan dalam talian atau online perlu juga diperhebatkan supaya jumlah kutipan GST terus meningkat dan pembangunan negara dapat dilaksanakan tanpa gangguan.

Selain itu, kata Mohd. Yusof, sistem perniagaan baharu yang menggunakan aplikasi tertentu seperti sistem e-hailing yang semakin popular ketika ini, juga tidak terlepas daripada tanggungjawab membayar GST kepada kerajaan, sekaligus menyum­bang kepada pembangunan ne­gara.

‘‘Dalam masa yang sama, program pendidikan juga perlu diteruskan supaya masyarakat memahami sistem GST terutama ke mana wang yang dikutip itu dibelanjakan oleh kerajaan dan tidak terpengaruh dengan tindakan segelintir ahli politik yang memutarbelitkan isu percukaian tersebut,’’ kata­nya.