ABDUL AZEEZ ABDUL RAHIM

Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, langkah itu juga diyakini mampu membantu mereka untuk bangkit semula dalam perniagaan tanpa perlu mengharapkan bantuan daripada mana-mana pihak.

“Tanpa insurans, para peniaga ini tidak mempunyai tempat untuk menuntut ganti rugi. Jika perniagaan itu merupakan satu-satunya sumber pendapatan mereka, sudah pasti bencana tersebut mendatangkan masalah yang besar.

“Dalam satu-satu ben­cana termasuk kebaka­ran, kerugian biasanya melibatkan jumlah yang besar. Bukan mudah untuk mana-mana pihak menghulurkan bantuan dan atas faktor itu, pemilik perniagaan perlu berusaha mendapatkan insurans,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menziarahi mangsa kebakaran di Kampung Bandar, Mukim Siong, semalam.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3 pagi, 4 September lalu, sebanyak enam buah rumah kedai di kampung tersebut terbakar sehingga mengakibatkan kecederaan kepada seorang individu.

Katanya, beliau selepas ini akan berusaha mendapatkan dana da­ripada mana-mana pihak untuk membantu mendirikan semula kesemua enam buah kedai tersebut di tapak asalnya.

“Buat sementara waktu, Ja­ba­tan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan membantu mereka de­ngan memperuntukkan bantuan bencana kebakaran yang berjumlah antara RM8,000 hingga RM10,000 kepada setiap mang­sa,” katanya.

Sementara itu, salah seorang pemilik kedai tersebut, Harun Hamzah, 53, berkata, dia mengalami kerugian lebih RM100,000 akibat kejadian itu.

“Saya menjalankan perniagaan menjual peralatan pembinaan. Apabila kejadian itu berlaku, saya tidak tahu bagaimana untuk kembali memulakannya dan amat berharap supaya kerajaan dapat membantu,” katanya.