Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pemilik-pemilik kenderaan terbabit tidak mempunyai alasan untuk bertangguh lagi kerana syarikat-syarikat kenderaan itu telah menyediakan stok yang mencukupi untuk penukaran komponen itu.

Katanya, surat peringatan terakhir akan dikeluarkan oleh syarikat-syarikat kenderaan itu pada waktu terdekat.

"Kalau dalam tempoh dua minggu masih lagi tidak tukar beg udara, JPJ akan menghantar Notis 114 untuk (pemilik kenderaan) dikehendaki mengemaskini maklumat.

"Kalau tidak hiraukan notis ini selepas sebulan kita telah keluarkan, kita akan senarai hitamkan pemilik-pemilik kenderaan ini," katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Anthony berkata, bagi pemilik-pemilik kereta Toyota, Mitsubishi, BMW dan Nissan, syarikat-syarikat berkenaan telah memaklumkan situasi kekurangan stok untuk penukaran beg udara dan tempoh dua bulan telah diberikan.

"Pengeluar perlu meningkatkan keupayaan pusat servis dan menyediakan stok untuk memudahkan pemilik kenderaan yang perlu menukarkan beg udara," katanya.

Sementara itu, Anthony turut melahirkan kekesalan kerana daripada 408,551 pucuk surat peringatan yang dikeluarkan JPJ kepada semua pemilik kenderaan terlibat dari tempoh 26 Jun sehingga 4 September lalu, hanya 70,853 kenderaan yang telah selesai urusan penukaran beg udara.

"Ini menunjukkan peratus orang ramai yang mengambil tindakan terhadap surat peringatan ini adalah sebanyak 17.43 peratus, perkara ini amat mendukacitakan," katanya yang memaklumkan kos penghantaran surat peringatan itu adalah sebanyak RM1 juta. - UTUSAN ONLINE