Salihuddin Nasharuddin, 36, berkata, beliau akur dengan nasihat daripada Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin yang datang ke kedainya semalam.

Beliau mengaku, tidak menjangka sama sekali konsep Islamik yang diperkenalkan untuk kedai dobinya yang dibuka sejak dua bulan lalu menjadi isu.

“Sebenarnya konsep Islamik yang diperkenalkan itu lebih kepada strategi pemasaran untuk menarik perhatian komuniti Islam di negeri ini,” katanya.

Shalihuddin berkata, beliau sebenarnya langsung tidak berniat untuk mencetuskan unsur perkauman dengan penggunaan konsep dobi Islamik itu.

“Saya cuma ingin memberikan satu perkhidmatan dobi tanpa was-was kepada umat Islam di sini serta pelanggan merasa selesa bila berada di dalam kedai ini yang disediakan surau dan ruang untuk berehat,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Asri berkata, beliau telah bertemu dengan pemilik kedai berkenaan semalam dengan mengambil pendekatan mesra dalam 
suasana kekeluargaan.

“Kita menasihatkan pemilik kedai ini berhubung dengan konsep itu memandangkan ia boleh menimbulkan persepsi salah kepada orang bukan Islam,” katanya.

Mohd. Asri berkata, gambaran diberikan seolah-olah orang Islam tidak boleh hidup dalam masyarakat majmuk sedangkan selama ini orang Islam bebas bergerak ke mana-mana termasuk berkunjung ke negara bukan Islam. - UTUSAN ONLINE