Perdana Menteri ketika membuat tawaran itu berkata, penuntut boleh menunjukkan bukti pemilikan ke atas Equanimity sekaligus membantu kerajaan membuktikan bahawa kapal mewah itu tidak dibelikan dengan wang yang dicuri daripada Malaysia oleh pihak-pihak tertentu.

Jelas beliau, kerajaan berminat mahu mengetahui dari mana pihak tersebut mendapatkan wang yang sebegitu banyak untuk membeli kapal mewah tersebut jika terbukti wang berkenaan bukan wang milik negara, mereka berhak untuk mendapatkannya kembali.

“Kerajaan percaya Equanimity dan beberapa aset lain dibeli dengan duit yang dicuri daripada 1MDB.

“Menurut siasatan dan laporan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, pembelian aset-aset berkenaan adalah untuk mencuci wang telah dicuri bagi menghilangkan bukti,” kata Tun Dr. Mahathir dalam rakaman video yang dimuat naikan di laman Facebook beliau hari ini.

Dr. Mahathir turut menyampaikan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo kerana memulangkan Equanimity kepada Malaysia.

Kesudian republik itu berbuat demikian kata beliau, telah membantu Malaysia menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi negara. - UTUSAN ONLINE