Penasihat Jawatankuasa Bertindak Suara Generasi Kedua Felda, Datuk Zulkefli Nordin berkata, pihaknya mengucapkan teri­ma kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana mendengar keluhan anak-anak Felda yang mahukan perubahan dalam pucuk pimpinan FGV agar kekal berdaya saing dalam menjalankan urusan perniagaan.

Menurut beliau, generasi kedua Felda juga bersyu­kur kerana Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob yang dilantik sebagai Pemangku Pengerusi FGV merupakan seorang pemimpin berintegriti tinggi serta berpengalaman luas dalam bidang perniagaan dan yang paling penting beliau bukan dalam kalangan ahli politik.

“Pelantikan Sulaiman diharapkan dapat mengembalikan semula saat-saat gemilang yang pernah dikecapi oleh FGV suatu masa dahulu. Daripada maklumat yang saya diterima beliau merupakan seorang yang tegas dalam menjalankan tugas.

“Saya juga berharap persepsi buruk yang terpalit di FGV dapat dipulihkan segera sekali gus mengembalikan semula kepercayaan peneroka terhadapnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Presiden Alumni Majlis Belia Felda Malaysia (AMBFM), Datuk Abdullah Abu Bakar berkata, perubahan jawatan Pengerusi FGV itu dilihat bertepatan dengan kehendak majoriti warga pene­roka di peringkat akar umbi.

“Perlu diakui pergeseran terbuka di peringkat pengurusan ter­tinggi FGV telah menjejaskan reputasi dan imej syarikat itu.

“Kini warga Felda menyandarkan harapan kepada Sulaiman yang mempunyai banyak pengalaman dalam bidang ekonomi dan pentadbiran kerajaan untuk mengembalikan kedudukan FGV dalam perniagaan berprestasi tinggi,” katanya yang juga peneroka Felda Lembah Klau, Raub, Pahang.

Presiden Kami Anak Felda (KAF), Fakrurazi Mohd. Habib pula berharap, pengerusi baharu dapat memperbetulkan semula kea­daan FGV agar urusan pentadbirannya berjalan seperti biasa.

Beliau juga berharap Sulaiman dapat mempertimbangkan cadangan untuk melantik pegawai dari Felda ke Lembaga Pengarah FGV bagi memboleh­kan mereka membawa bersama hasrat serta isi hati warga pene­roka.

“Saya bersyukur kemelut yang melanda FGV sudah berakhir dan berharap pengerusi baharu meletakkan anak-anak Felda dalam kalangan ahli Lembaga Pengarah FGV kerana tidak masuk akal Felda sebagai pemegang saham utama tidak mempunyai wakil dalam lembaga berkenaan,” katanya.