Perdana Menteri, ketika mengumumkan perkara itu hari ini, berkata mereka akan diintegrasikan ke dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) yang baharu secara berperingkat.

"Usaha ini akan memberi manfaat kepada kira-kira 1.2 juta pelajar dari 10,173 sekolah di seluruh negara," kata beliau pada majlis pelancaran pergerakan #mydigitalmaker di Sekolah Sultan Alam Shah, Presint 1 di sini hari ini.

Najib berkata, Pemikiran Komputasional dan Sains Komputer akan diintegrasikan ke dalam semua mata pelajaran bagi sekolah rendah secara berperingkat bermula dengan Tahun Satu tahun depan, Tahun Dua pada tahun 2018 dan seterusnya.

Beliau berkata Sains komputer asas akan ditawarkan kepada sekolah-sekolah menengah, bermula di Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 tahun depan.

“Apa yang kita perkenalkan sebenarnya sesuatu yang juga sedang dilakukan di banyak negara lain. Ini adalah satu fenomena global. Amerika, UK dan Australia telahpun mengintegrasikan pendidikan Sains Komputer di sekolah-sekolah mereka. Saya faham bahawa Malaysia adalah negara pertama di ASEAN menjadi perintis kurikulum ini dalam sistem pendidikan kita,” katanya.

Najib berkata, Kementerian Pendidikan dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) bekerjasama rapat untuk menyediakan pendidik bagi kurikulum baharu.

Beliau berkata, kira-kira 9,200 orang guru sedang menjalani latihan mengenai cara untuk mengintegrasikan pemikiran komputasional dan sains komputer ke dalam bilik darjah mereka untuk kurikulum baharu tahun depan.

“Pemikiran Komputasional dan Sains Komputer juga sedang diintegrasikan di maktab-maktab perguruan dan Institut Aminuddin Baki yang melatih pengetua dan guru besar. Pada masa depan, semua guru yang menamatkan pengajian di institut-institut latihan guru akan dilengkapi dengan kemahiran ini,” katanya. -BERNAMA