Timbalan Menterinya, Datuk Chong Sin Woon berkata, perkara tersebut telah dibangkitkan pada sesi Parlimen lalu dan pengurusan sekolah telah dimaklumkan mengenai tindakan terhadap pelajar yang terlibat.

“Kita akan bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melakukan ujian air kencing mengejut terhadap kumpulan pelajar yang didapati terlibat.

“Kita juga akan sentiasa memantau jenis dan bentuk dadah yang disalurkan kepada pelajar-pelajar sekolah,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pengusaha-Pengusaha Bas Sekolah Negeri Sembilan, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas penahanan lima lelaki berumur antara 15 hingga 30 tahun yang menjual pelbagai jenis dadah dan sebahagiannya dibungkus menyerupai gula-gula getah di sebuah lokasi di Pahang, 14 Mac lalu.

Chong berkata, statistik pelajar sekolah yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah amat kurang dan tiada menunjukkan peningkatan.

Hal demikian ujarnya, setiap sekolah mempunyai seorang pegawai polis yang dipanggil Pegawai Perhubungan Sekolah ditugaskan bagi memantau setiap pelajar yang berkemungkinan terjebak dengan penyalahgunaan dadah. - UTUSAN ONLINE