Menurutnya, beberapa hari sebelum berangkat ke Mekah bagi menunaikan haji pada 26 Ogos lalu, beliau ada mengadap bagin­da bagi menyatakan pemergiannya ke Mekah, selain melaporkan beberapa perkara berkaitan pembangunan negeri.

“Ketika itu, Tuanku Abdul Halim sendiri menyatakan yang baginda sihat malah turut menyatakan hasrat untuk bercuti ke Langkawi.

“Di depan Kaabah dan di Masjid Nabawi, saya sering mendoakan kesihatan tuanku dan memohon semoga tuanku dipanjangkan usia. Namun kehendak Allah SWT mengatasi segala-galanya,’’ katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Tambahnya, berita mengenai kemangkatan Almarhum diterima sebaik sahaja beliau keluar dari kapal terbang di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) di sini, kira-kira pukul 2.30 petang.

“Saya baru pulang dari menunaikan haji hari ini dan sebaik saja menjejakkan kaki ke bumi Kedah, saya diberitahu mengenai kemangkatan tuanku oleh Setiausaha Sulit Kanan, Datuk Armishah Siraj. Sudah tentu, saya berasa sedih mengenangkan tuanku,” katanya sebak.

Mengulas lanjut, Ahmad Ba­shah berkata, Tuanku Abdul Halim yang dikenalinya sejak sekian lama merupakan sultan yang sentiasa mendahulukan rakyat.

‘‘Terlalu banyak kenangan bersama tuanku yang tak mungkin dapat saya lupakan termasuk ketika mengiringi tuanku bercuti di dalam dan luar negara. Tuanku sebenarnya seorang yang cukup bersahaja dan mudah didekati.

‘‘Kalau istiadat rasmi, memanglah kita perlu mengikut protokol tetapi kalau dalam keadaan bercuti dan santai, tuanku mudah mengajak orang sekeliling bersembang secara santai dan secara peribadi saya merasakan takkan ada sesiapa yang mampu menjadi seperti baginda,’’ katanya.

Sementara itu, Setiausaha Sulit Kanan Sultan Kedah, Datuk El­­mi Yusoff memberitahu, bagin­da menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan yang sangat tenang.

‘‘Saya bersama dengan tuanku sejak 2002, malah mengiringi baginda ke Istana Negara ketika tuanku menjadi Yang di-Pertuan Agong. Jadi, sudah tentu saya sangat-sangat terkesan dengan pemergian tuanku.

‘‘Paling saya kagumi adalah ketepatan masa serta penelitian tuanku dari aspek penampilan. Sepanjang saya berkhidmat dengan tuanku, baginda tidak pernah sekali pun tidak menepati masa selain sentiasa berpakaian segak,’’ katanya.