Timbalan Perdana Menteri berkata, negara yang menjadi sumber penyumbang pemerdagangan manusia itu tidak boleh melepaskan tanggungjawab ter­sebut kepada Malaysia sahaja.

“Malaysia telah berusaha dan meminta negara ASEAN untuk terus memberi kerjasama kepada kita,” katanya kepada pembe­rita Malaysia selepas mengikuti Mesyuarat Menteri-Menteri ASEA­N Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) Ke-11 di Hotel Conrad Manila di sini hari ini.

Yang turut hadir, Duta Malaysia ke Filipina, Datuk Raszlan Abdul Rashid dan Timbalan Ketua Setia­usaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Mustafa Ibrahim.

Usaha menangani pemerdagangan manusia merupakan antara empat perkara yang dicadangkan Malaysia pada sesi plenari mesyuarat tersebut dalam memerangi pengganas jenayah rentas sempadan.

Ahmad Zahid berkata, Malaysia telah mendapat penilaian Tier 2 berdasarkan laporan tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat dan sedang berusaha mendapatkan Tier 1 pada tahun 2020.

Katanya, selain pelbagai program yang akan dilaksanakan oleh agensi kerajaan bagi tujuan itu, program rumah perlindungan yang diusahakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga bakal ditambah peruntukan agar mereka dapat menyediakan kemudahan yang lebih baik.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, tiga lagi cadangan yang dikemukakan ialah Malaysia akan menganjurkan Dialog Keselamatan Antarabangsa Putrajaya pada Januari tahun depan dalam usaha memerangi keganasan.

“Kita akan mempromosikan pendekatan dakwah dan kesederhanaan Islam sebagai satu cara menangani keganasan serta memulihkan semula mereka yang terbabit,” ujarnya.

Pengalaman Malaysia dalam melaksanakan program dera­dika­lisasi dan pemulihan banduan akan dikongsi bersama dalam dia­log itu, ujar beliau.

Selain negara anggota ASEAN, katanya, wakil daripada kerajaan Amerika Syarikat, United Kingdom, Turki serta NGO Arab Saudi, Rabitah Al-Alam Al-Islami juga dijemput ke dialog itu.

Menurutnya, Bank Negara Malaysia (BNM) juga merancang mengadakan Persidangan Antarabangsa Memerangi Pembiayaan Keganasan November ini sebagai komitmen Malaysia memerangi jenayah pengubahan wang haram.

Katanya, Malaysia juga mencadangkan agar diadakan program kerja bagi menangani isu penyeludupan manusia yang merupakan salah satu skop AMMTC. – UTUSAN