Tiara Jacquelina

Penerbit teater tersebut, Puan Sri Tiara Jacquelina berkata, siri jelajah pementasan teater berkisar kehidupan Seniman Agung, Tan Sri P. Ramlee yang bermula di Pulau Pinang, Johor dan berakhir di Melaka itu merupakan usaha pihaknya untuk melebarkan pengaruh teater ke seluruh negara.

Menurutnya, kebanyakan teater khususnya pementasan berskala besar di negara ini hanya diadakan di Kuala Lumpur, sekali gus menyukarkan masyarakat yang menetap di negeri lain hadir menyaksikannya.

“Saya mendapat banyak maklum balas daripada orang ramai, mereka berminat untuk menyaksikan pementasan teater namun jarak yang jauh menjadi kekangan kepada mereka.

“Justeru, kami mengambil inisiatif ini dengan mengadakan siri jelajah bagi membawa pementasan teater lebih dekat kepada masyarakat," katanya dalam sidang akhbar tentang pementasan teater P. Ramlee The Musical berjudul Dari Penang Ke Singapura di Hotel Silka, di sini semalam.

Teater P. Ramlee The Musical sebelum ini dipentaskan di George Town, Pulau Pinang pada 28 hingga 30 Ogos lalu sementara pementasan di Studio Pinewood Iskandar Malaysia pula akan bermula esok sehingga Ahad ini.

Lokasi terakhir yang akan disinggah oleh produksi teater muzikal itu ialah di Panggung Seri, Taman Budaya, Ayer Keroh, Melaka pada 11 hingga 13 September ini.

Para peminat teater Melayu yang berminat untuk menonton pementasan itu boleh mendapatkan tiket yang dijual bermula dengan harga RM83 dengan melayari laman web www.ticketpro.com atau berkunjung ke E. Rewards Enterprise di Serene Park atau menghubungi talian 019-7789105 untuk maklumat lanjut.