Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, program Inisiatif Hijau KL2017 ini diharap dapat menjadi contoh bagaimana untuk menjaga alam sekitar di kawasan bandar.

“Pada asalnya kita hanya menyasarkan 211 pokok tetapi oleh kerana kehebatan atlet-atlet negara, sebanyak 235 pokok akan ditanam di Bandar Sukan Bukit Jalil ini dan akan ditandakan dengan nama mereka selama-lamanya di sini.

“Saya cukup terharu dan berbangga terutamanya program Inisiatif Hijau ini, daripada memberikan atlet sejambak bunga, alangkah lebih baik kita memberikan sesuatu yang boleh tahan lama, ini sebagai hadiah untuk generasi di masa akan datang malah Putera Charles sendiri berkata ia satu idea yang bernas dan patut dilakukan oleh para penganjur temasya sukan lain juga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Fasa Ketiga Program Penanaman Pokok: Satu Pingat, Satu Pokok di Kompleks Sukan Bukit Jalil di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Landskap Malaysia, Tun Jeanne Abdullah dan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Ir. Dr. Zaini Ujang.-UTUSAN ONLINE