Persimpangan bertingkat MITC yang mula dibuka sepenuhnya sejak kelmarin ternyata telah mengurangkan masalah kesesakan teruk yang sering berlaku sebelum ini, apatah lagi pembukaannya dilakukan ketika musim cuti sempena Tahun Baharu Cina ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd. Sofi Abdul Wahab berkata, pembukaan persimpangan bertingkat di MITC itu sejak kelmarin dilihat mampu menjimatkan masa pengguna kenderaan selama lima minit.

Katanya, persimpangan bertingkat di Peringgit pula yang mula dibuka hampir dua minggu lalu turut menjimatkan masa perjalanan selama lima minit.

“Dengan beroperasinya dua persimpangan bertingkat ini di mana persimpangan MITC yanh sepatutnya siap sepenuhnya pada 11 Februari ini tetapi siap lebih awal, pengguna kenderaan dari Ayer Keroh dapat menjimatkan masa perjalanan selama 10 minit untuk ke pusat bandar raya.

“Kerajaan negeri berharap dua persimpangan ini dapat membantu melancarkan aliran trafik di Melaka kerana sebelum ini ramai yang melahirkan rasa kecewa kerana sering terperangkap dalam kesesakan lalu lintas apabila berkunjung ke negeri ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Kedua-dua persimpangan penyuraian trafik ini yang menelan kos sebanyak RM285 juta adalah antara langkah diambil kerajaan negeri bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang berlaku di Melaka selama ini.

Menurut Mohd. Sofi, pihaknya juga akan membentangkan cadangan pembinaan tiga lagi persimpangan bertingkat bagi tujuan penyuraian trafik menerusi ‘Rolling Plan Kelima’ untuk tahun 2019-2020.

“Selepas pembinaan dua persimpangan bertingkat ini, kita merancang tiga lagi persimpangan iaitu di laluan berhampiran Hospital Pantai Ayer Keroh, persimpangan air terjun menghala ke Bukit Baru dan di hadapan Masjid Al-Azim.

“Kerajaan negeri berharap daripada tiga cadangan itu yang akan dikemukakan kepada kerajaan Pusat, sekurang-kurangnya dua daripadanya akan diluluskan dalam tempoh terdekat,” katanya.  - UTUSAN ONLINE