Kini banyak keris dihasilkan melalui adunan besi terpakai. Malah, keris pada hari ini juga banyak digunakan untuk tujuan perhiasan berbanding tujuan sebenar sebagai alat kebesaran dan senjata perlindungan.

Seorang pembuat keris profesional, Raja Shariman Raja Aziddin memberitahu, pembuatan keris pada hari ini lebih senang berbanding dahulu dengan kemudahan pelbagai peralatan.

Katanya, asas keris boleh disiapkan dalam masa tiga hari sahaja melalui tiga peringkat proses iaitu melebur, membentuk dan membuat kepala.

“Kini, tidak lagi sukar untuk membuat keris. Kalau dahulu, besi diperoleh daripada bijih dari dalam tanah.

“Sekarang besi yang digunakan adalah besi terpakai yang dimasak dahulu menjadi lapisan besi sebelum diketuk membentuk sebilah keris.

“Proses melebur besi menggunakan dapur arang. Ada juga orang menggunakan dapur moden. Ia tidak boleh dilebur terlalu lama kerana akan merosakkan besi,” katanya kepada S2 di bengkelnya di Kuala Kangsar, Perak.

Selepas proses melebur, katanya, besi tersebut akan diketuk untuk membentuk bahagian aring dan bilah keris.

“Selepas dilebur, besi yang panas dengan bara merah menyala itu akan diketuk membentuk aring dan bilah yang meruncing.

“Kemudian, bilah tadi akan diketuk lagi untuk membuat lok. Terdapat banyak jenis lok sama ada tiga, lima, tujuh ataupun 99 bergantung kepada permintaan.

“Lok keris selalunya akan dibuat dalam kiraan nombor ganjil. Selain itu, diselitkan dengan unsur-unsur Islamik seperti lima rukun Islam atau 99 nama Allah,” ujarnya.

Tambah beliau, proses lebur dan mengetuk hanyalah pada peringkat membuat asas keris sahaja. Selebihnya seperti mengilatkan besi, membuat hulu dan sarung adalah proses lain.

Beliau yang juga kerabat diraja Perak memberitahu, senjata keris sama seperti pedang yang menikam tetapi ia mempunyai sifat berbeza.

“Keris adalah senjata tikam yang berbeza dengan pedang. Bukan sahaja bentuk, malah jenis besi dan rasa akibat tikaman adalah berbeza.

“Rasa tikaman pedang bersifat tidak sakit tetapi membunuh dalam masa yang singkat.

“Berbanding keris, setiap lok yang dihunus keluar dari tikaman akan menyebabkan rasa teramat sakit dan membunuh secara perlahan,” jelasnya.