Mohd. Puad Zarkashi

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, belum ada dalam sejarah parti politik terdapat tiga pemimpin yang memiliki jawatan berkenaan sehingga me­nimbulkan tanda tanya siapa lebih berhak untuk berkuasa jika pembangkang berjaya merampas Putrajaya.

Menurutnya, keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa dan menggunakan jalan singkat itu tidak lebih sebagai pembohongan demi pembohongan Pakatan Harapan yang diketuai DAP, bertujuan untuk mengelirukan rakyat bagi meraih sokongan.

“Barisan terbaharu Pakatan Harapan yang diketuai DAP buktikan mereka terpaksa ambil tindakan kosmetik, siapakah yang akan berkuasa nanti, adakah Ketua Umum, Pengerusi atau Presiden yang nak jadi Perdana Menteri dan saya yakin gabungan ini akan gagal. Dia pun tak beritahu kita apa alternatifnya apabila membuat pengumuman tentang tiga jawatan itu, tetapi pada saya ‘kesepakatan’ mereka tidak cukup kerana tiada jawatan tertinggi untuk Penasihat DAP, Lim Kit Siang,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam nada sinis, Mohd. Puad yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat mencadangkan agar pemimpin veteran DAP itu diberikan jawatan sebagai Mursyidul Am bagi melengkapkan gabungan pakatan tersebut.

“Agaknya mereka susah nak beri jawatan baharu kepada Kit Siang. Jadi, saya nak cadangkan tambah lagi satu dalam pakatan iaitu Mursyidul Am, barulah lengkap,” katanya yang yakin rakyat tidak akan mudah diperbodohkan dengan kekeliruan terbaharu itu.

Dalam perkembangan lain, beliau mengulangi pendiriannya sebelum ini iaitu Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) memerlukan pembersihan ‘total’ dengan menggesa lima ahli lembaga pengarah yang dilantik bekas Pengerusi, Tan Sri Mohd. Isa Samad meletak jawatan.

Pada masa sama, beliau percaya terdapat usaha untuk menjadikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, Datuk Zakaria Arshad yang juga Presiden FGV sebagai kambing hitam dengan cubaan mensabitkan semua tuduhan ke atas beliau supaya boleh dipecat.

“Apakah motifnya, adakah supaya ada individu lain akan terselamat dan dilihat sebagai tidak bersalah. Sebenarnya kemelut ini yang menjadi punca berlaku perang terbuka antara Pengerusi dengan CEO FGV sebelum ini yang memberi kesan politik negatif kepada kerajaan Barisan Nasional (BN), di sam­ping impak buruk terhadap harga saham FGV.

“Saya percaya ada pihak yang amat takut jika Datuk Zakaria kekal sebagai Presiden dan CEO kerana beliau memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Saya juga hairan dengan pendirian Pemangku Pengerusi, Tan Sri Sulaiman Mahbob yang sepatutnya memimpin pasukan baharu dan bukannya terus bersama dengan pasukan lama yang sudah terpalit dengan peperangan terbuka sebelum ini,” tegasnya.