Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, kerja-kerja tanah berkenaan sedang dilakukan oleh pihak konsensi mengikut perancangan yang ditetapkan sebelum ini.

“Hari ini saya mendengar taklimat dan melawat projek pembinaan Lebuh Raya Pesisir Pantai Barat di Teluk Intan dan secara keseluruhan saya berpuas hati dengan perkembangannya.

“Tiada sebarang kelewatan atau masalah besar bagi pembinaan lebuh raya ini melibatkan Perak dan ia berjalan lancar serta dijangka disiapkan seperti yang dirancang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas membuat lawatan ke tapak projek Bekalan Elek­trik Luar Bandar (BELB) di Kampung Baru Sungai Chawang dekat sini sempena program pemukiman di Daerah Hilir Perak yang bermula semalam hingga Sabtu ini.

Menurut Zambry, walaupun terdapat sedikit masalah teknikal melibatkan pertindihan sempadan penyelengaraan antara syarikat konsensi dan kerajaan, namun ia telah dapat diselesaikan melalui perbincangan.

“Jabatan Kerja Raya (JKR) juga telah berbincang bersama syarikat konsensi untuk mencari jalan penyelesaian supaya dari segi reka bentuk ia tidak mencacatkan pemandangannya apabila siap nanti,” katanya.

Ditanya sama ada kerajaan negeri bersedia atau tidak sekiranya lebuh raya berkenaan dibuka kepada orang ramai

secara berperingkat jika telah siap, Zambry berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah.

“Tiada masalah kalau laluan dari Banting, Selangor ke Perak yang sudah siap dibuka kepada orang ramai, namun kami tidak melihat keperluan tentang perkara tersebut ketika ini,” katanya.

Projek infrastruktur mega, Lebuh Raya Pesisir Pantai Barat sepanjang 233 kilometer dari Banting, Selangor ke Taiping, Perak yang pembinaannya memakan masa lima tahun itu dijangka siap pada Februari 2019.