Menteri Besar, Prof Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, langkah itu bagi menambahkan keceriaan dan kemeriahan sambutan Aidilfitri dalam kalangan rakyat negeri ini. 

“Mengambil kira kita hendak menyambut Ramadan dan tradisi yang dilaksanakan di Terengganu, maka kita membuat keputusan untuk meneruskan pemberian dana raya berjumlah antara RM300 hingga RM400 mengikuti kelayakan masing-masing.

“Pengagihan akan dibuat pada bulan puasa dan dalam masa yang sama kita membuat penambahbaikan dengan membuka kepada permohonan baru,” ujarnya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco yang pertama di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Satiful Bahari Mamat dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan, Mohd Nor Hamzah.

Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini mengubah syarat pendapatan isi rumah bagi dana raya dinaikkan daripada RM2,500 kepada RM3,000 sekali gus meningkatkan penerima daripada 240,294 kepada 264,294  ketua isi rumah menjadikan peruntukan keseluruhan sebanyak RM99 juta.

 Ahmad Samsuri berkata, selaras dengan usaha untuk memastikan rakyat menerima manfaat tanpa melalui kerenah birokrasi, kerajaan negeri turut memutuskan untuk menghapuskan keperluan  tandatangan sokongan daripada Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Kampung (JKKK)untuk sebarang urusan  permohonan bantuan daripada kerajaan negeri.

“Sebarang permohonan termasuk borang-borang yang berkaitan dengan permohonan yang dibuat hanya perlu diisi oleh pemohon tanpa tandatangan JKKK dan boleh terus kepada Majlis Daerah atau agensi berkaitan,” katanya. - UTUSAN ONLINE