Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ini kerana penstrukturan tersebut tidak menggunakan sebarang dana daripada kerajaan negeri.

“Ia tidak melibatkan wang negeri dan ia juga bukan melibatkan pengambilalihan Syarikat Pengeluaran Air Selangor Sdn. Bhd. (Splash) seperti sangkaan sesetengah pihak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Agihan Perdana Bantuan Pendidikan Asnaf Fakir Miskin dan Miskin Selangor 2019 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kritikan beberapa pihak termasuk bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang telah menjangkakan keputusan tersebut selepas kerajaan negeri membuat keputusan membayar RM2.55 bilion kepada syarikat pemegang konsesi dalam penstrukturan semula industri air sebelum ini.

Kelmarin, dalam Belanjawan Selangor 2019 kerajaan negeri mengumumkan bahawa pemberian air percuma di Selangor akan ditambah daripada 20 meter padu kepada 25 meter padu sebulan namun, skim pemberian air percuma itu hanya kepada golongan sasar yang berada dalam kalangan B40.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, pihaknya juga akan memutuskan pada suku pertama tahun hadapan mengenai mekanisme pemberian air percuma itu kepada golongan B40.

Katanya, antara perkara yang diambil kira ialah berhubung cadangan untuk memberikan air percuma kepada penduduk yang tinggal di rumah kos rendah, kampung dan mereka yang bukan berada dalam kategori B40 tetapi layak untuk mendapat skim pemberian air percuma itu.- UTUSAN ONLINE