NILAI RM32 bilion sememangnya amat besar. Wang sebanyak itu, sekiranya disalurkan untuk biasiswa dan pinjaman pendidikan, boleh membiayai kira-kira 250,000 pelajar bumiputera bagi menyambung pengajian ijazah sarjana muda di universiti-universiti awam di Amerika Syarikat sekitar 1990-an.
Jumlah tersebut adalah berdasarkan anggaran kos sebanyak RM128,000 yang diperlukan untuk menampung pendidikan peringkat persediaan bagi setiap pelajar selama dua tahun enam bulan di dalam negara sebelum menyambung pengajian sepanjang tempoh dua tahun lagi di negara Uncle Sam itu.
Peruntukan RM32 bilion juga boleh disalurkan bagi projek pembinaan infrastruktur awam seperti dewan orang ramai, kemudahan sukan dan riadah serta membina atau menurap semula jalan di kawasan luar bandar.
Katakan setiap kawasan secara purata memerlukan RM3.2 juta untuk membina infrastruktur awam. Maka, dana sebanyak RM32 bilion dapat disalurkan bagi memberi manfaat kepada penduduk di 10,000 kampung di seluruh negara.
Malangnya, sejumlah RM32.074 bilion ‘hangus’ begitu sahaja ekoran kesilapan percaturan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dalam urus niaga mata wang asing sepanjang 1988 hingga 1994.
Jumlah kerugian mungkin lebih tinggi sekiranya urus niaga berisiko tinggi yang dikendalikan bekas Penasihat BNM, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop itu tidak mencatatkan keuntungan RM2.473 bilion pada 1990.
Nor Mohamed sememangnya berjiwa besar apabila mengakui beliau bertanggungjawab terhadap kerugian tersebut semasa memberi keterangan di hadapan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat kes kerugian akibat urus niaga mata wang asing oleh BNM sekitar 1990-an di Putrajaya kelmarin.
Beliau seterusnya meletak jawatan pada April 1994 setelah berkhidmat di bank pusat itu selama 25 tahun. Nor Mohamed kemudiannya berkhidmat semula sebagai Penasihat BNM mulai September 1998 hingga April 2000.
Tidak diketahui sama ada Nor Mohamed menerima ‘mandat’ daripada mana-mana individu tertentu bagi membolehkannya menggunakan dana awam dalam jumlah yang agak besar untuk urus niaga mata wang yang berunsur spekulatif.
Sekiranya andaian itu benar, pihak yang memberi mandat juga sewajarnya berjiwa besar dengan mengakui kesilapannya dan tidak membiarkan Nor Mohamed memikul tanggungjawab secara bersendirian.
Letak calon orang suka