Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mah Siew Keong berkata, pelaksanaan draf yang se­patutnya dibentangkan dalam sidang Parlimen tahun ini melibatkan beberapa kementerian itu perlu dibuat dengan teliti agar akta diwujudkan adalah bersifat menyeluruh.

“Industri tenaga nuklear merupakan bidang yang memerlukan kajian teliti, kepakaran tinggi serta satu akta lengkap dan menepati peraturan antarabangsa bagi membolehkan pelaksanaan berkaitan industri itu mengikut peraturan dan garis panduan yang betul.

“Tiada keperluan untuk kerajaan tergesa-gesa dalam mewujud­kan akta ini kerana pelaksanaan­nya melibatkan banyak kementeri­an seperti Kementerian Sains, Tek­no­logi dan Inovasi serta Kementerian Kesihatan, jadi, biarlah kita serah kepada mereka yang pakar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Deepavali 2014 anjuran Parti Gerakan di sini hari ini.

Semalam, diplomat Amerika Syarikat (AS), Duta Besar Laura E. Kennedy memaklumkan pihaknya bersedia memberi bantuan sekiranya Malaysia ingin meneruskan rancangan membina loji tenaga nuklear kerana negara itu telah lama mempunyai industri tenaga nuklear dan kepakaran dalam bidang tersebut.

Mengulas lanjut, Siew Keong berkata, pelawaan negara itu yang mahu membantu Malaysia dalam industri tenaga nuklear dilihat sebagai reaksi positif, namun beliau menyifatkan pelawaan tersebut tidak hanya tertumpu kepada pembinaan reaktor nuklear.

“Saya fikir Laura mungkin bercakap soal tenaga nuklear secara menyeluruh dan bukan untuk pembinaan reaktor nuklear kerana tenaga nuklear juga sangat meluas digunakan di dalam bidang perubatan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau yang ju­ga Presiden Gerakan meminta masyarakat tidak terlalu memberi publisiti meluas kepada golongan yang gemar membuat kenyataan berbaur sentimen serta boleh meme­cahbelahkan perpaduan antara kaum terutama di laman-laman sosial.

Ujarnya, tindakan tersebut bukan sahaja tidak memberi faedah, malah mencetuskan ketidakharmo­nian di antara satu sama lain sehingga boleh menimbulkan perbalahan.

“Jangan beri mereka peluang untuk popular dengan memberi publisiti apa yang mereka tulis dan cakap kerana tindakan sebegini menyebabkan negara tidak dapat maju dan masyarakat tidak dapat membangun sebagai sebuah komuniti yang bersatu.

“Dalam Gerakan juga saya telah tekankan, sama ada pemimpin atau ahli dilarang membuat kenyataan yang tidak membina kerana akhirnya mencetuskan kemarahan parti lain. Apa yang penting, membantu menyelesaikan masalah dan bukannya mencipta masalah baharu,” jelasnya.