Beliau berkata, caj yang dikenakan adalah untuk menambung sebahagian kos pengeluaran beg plastik berkenaan yang selama ini ditanggung oleh peniaga.

“Bagi mengelakkan dari menanggung kos 20 sen ini, orang ramai boleh membawa beg sendiri apabila membeli-belah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Khalid berkata demikian bagi menjelaskan kenyataannya kelmarin berhubung caj 20 sen bagi beg plastik diodegradasi itu yang digunakan oleh pengguna semasa membeli-belah.

Dalam kenyataan kelmarin, beliau memberitahu, caj pencemaran di Wilayah Persekutuan akan mula dilaksanakan pada 15 Mac ini selaras dengan Roadmap Towards Zero Single-Use Plastics 2018-2030.

“Caj tersebut hanya boleh dikenakan ke atas setiap beg plastik biodegradasi, manakala tindakan penguatkuasaan diteruskan kepada peniaga dan penjaja yang masih menggunakan beg plastik konvensional,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan polluter pays principle ini bertujuan untuk memberi kesedaran dan perubahan minda kepada seluruh rakyat Malaysia amnya dan warga Wilayah Persekutuan khususnya mengenai keperluan perbelanjaan kerajaan untuk membersihkan pencemaran sisa plastik.

Selain itu, pendekatan tersebut diambil supaya dapat memberi kesedaran mengenai inisiatif hijau serta menjamin kelestarian alam sekitar.

Menurut Khalid, Kementerian Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc) telah membenarkan semua kerajaan negeri termasuk Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan mengenakan caj pencemaran sebanyak 20 sen itu.

Jelasnya, Kementerian Wilayah Persekutuan telah memperkenalkan penggunaan plastik biodegradasi bagi mengatasi masalah kos pengurusan sisa pepejal plastik biasa yang tinggi dan pencemaran alam sekitar sejak 2016.

Malah kementerian katanya, turut mengadakan pelbagai kempen “No Polistrine & Plastic Bag” serta aktiviti kesedaran dalam mendidik warga Wilayah Persekutuan ke arah bandar hijau (green city).

“Melalui pelaksanaan kempen “No Polistrine & Plastic Bag” ini, Wilayah Persekutuan telah lebih ke hadapan berbanding negeri lain. Inisiatif hijau yang telah diperkenalkan dan dilaksanakan di Wilayah Persekutuan sejak 2016 kini telah menjadi agenda negara,” katanya. - UTUSAN ONLINE