Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar berkata, mekanisme akan dilaksanakan dalam tempoh dua minggu dan tuntutan berkenaan dijangka akan dapat diselesaikan dalam tempoh dua bulan sehingga akhir tahun ini.

“Semua pesawah boleh menghubungi pengeluar benih padi sah yang telah dilantik kementerian serta menghubungi agensi seperti Lembaga Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) untuk mengesahkan tuntutan pembelian masing-masing.

“Jika tuntutan tersebut teratur, perkara ini akan diselesaikan sebelum hujung tahun. Selain itu, kerajaan akan meneliti beberapa cadangan untuk menambah baik industri benih padi termasuk mendaftar dan melesenkan semua ejen atau pengedar benih padi sah, serta penetapan harga siling benih padi di peringkat pengedar,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beberapa media tempatan baru-baru ini melaporkan aduan pesawah terhadap isu harga dan bekalan benih padi sah bersubsidi yang timbul.

Susulan daripada itu, satu perjumpaan khas telah diadakan antara Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dengan semua pengeluar benih padi sah pada 23 Oktober lalu yang membawa kepada beberapa persetujuan dan keputusan.

Menurut Ismail, antara hasil pertemuan tersebut adalah semua pengeluar bersetuju bersama-sama membantu bagi memastikan bekalan benih padi sah mencukupi untuk pesawah dan menjual dengan harga yang disubsidikan.

Kata beliau, sejumlah RM75 juta telah diperuntukkan di bawah Skim Insentif Benih Padi Sah (IBPS) sepanjang tahun ini yang memberikan subsidi sebanyak RM20.60 untuk setiap beg benih yang dijual oleh pengilang.

“Dengan subsidi ini, harga siling jualan di pintu kilang telah ditetapkan pada RM28.00 setiap beg, berbanding kos pengeluaran RM48.60 setiap beg,” katanya. - UTUSAN ONLINE