Penasihat Strategik Kesatuan Pertanian Sedunia (WUAA), Datuk Naim Mohamad berkata, adalah mustahil untuk pihak penguat kuasa memantau setiap produk yang dijual di pasaran kerana kawasan pertanian di negara ini sangat luas. 

Oleh itu, katanya, tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak pembekal yang cuai sehingga sanggup mengabaikan kesihatan rakyat di negara ini. 

“Memang pembeli juga perlu memastikan barangan yang dibeli itu sihat dan selamat digunakan. Namun, tanggungjawab pembekal lebih besar dan jangan hanya kerana mahu untung besar maka mereka sanggup menjual dengan harga yang murah. 

“Apakah nilai keuntungan yang diperoleh kalau produk yang dijual membunuh rakyat dan petani?” soalnya selepas sidang akhbar Pameran Penjenamaan Antarabangsa Malaysia kali ke-15 (IBS 2018) di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini. 

Yang turut hadir ialah Pengerusi Persatuan Perniagaan Promas Antarabangsa, Datuk Chong Chong Tik dan Presiden Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia, Datuk Seri Abu Hasan Mohd. Nor. 

Utusan Malaysia hari ini melaporkan keselamatan makanan negara berada dalam keadaan terancam apabila terdapat lambakan serius membabitkan racun makhluk perosak tidak berdaftar di pasaran tempatan.

Dalam pada itu, Naim berkata, sempena IBS 2018 yang bakal berlangsung pada 13 hingga 16 Disember ini, WUAA juga akan menganjurkan seminar berkaitan pertanian melibatkan penyertaan daripada pelbagai agensi. 

“Sebanyak 60 agensi seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan Felda akan mengambil bahagian dalam seminar tersebut. 

“Perkara berkaitan pertanian ini perlu dibincangkan secara bersepadu supaya semua pihak yang terlibat dalam pembekalan makanan dapat memberi jaminan produk tersebut sihat dan selamat,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE