YUSRI YUSOF

Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) negeri, Yusri Yusof berkata, kontraktor, peniaga tempatan dan ahli DPMM sendiri sebelum ini telah mendapat peluang perniagaan daripada pelaksanaan projek berimpak tinggi berkenaan.

“Jadi, apabila Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu membatalkan projek itu, ia pasti menutup peluang kontraktor dan peniaga tempatan di negeri Pantai Timur untuk turut merasai limpahan ekonomi kesan daripada wujudnya ECRL.

“Apa yang seharusnya menjadi keutamaan kerajaan adalah memikirkan manfaat untuk rakyat daripada melakukan sesuatu yang saya melihat lebih bermotifkan politik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri berkata, status beberapa projek mega yang dibiayai oleh China seperti ECRL dan Saluran Gas Paip Trans-Sabah (TSGP) masih belum dapat ditentukan lagi.

Dr. Mahathir berkata, tidak mudah untuk membuat keputusan terhadap projek tersebut walaupun beliau telah mengadakan perbincangan de­ngan pemimpin dari China, namun menegaskan ia sebagai prinsip bergerak ke hadapan.

Mengulas lanjut, Yusri berkata, kerajaan pimpinan Dr. Mahathir juga seharusnya sedia maklum bahawa projek ECRL merupakan antara projek berimpak tinggi untuk memperkasakan pengangkutan awam di negara ini.

Katanya, DPMM negeri berpendirian bahawa sesebuah ke­rajaan perlu memperkasakan pengangkutan awam di sesebuah negara demi membina sebuah negara maju.

“Akses perhubungan antara rakyat di Pantai Timur dan Pantai Barat akan menjadi lebih cekap dengan ECRL, sekali gus dapat merapatkan jurang ekonomi dan mengimbangi kemajuan antara Pantai Timur dan Pantai Barat.

“Sewaktu negara maju lain di seluruh dunia berlumba-lumba mahu memperkasakan pengangkutan awam, kenapa kita sebagai sebuah negara yang sedang membangun mahu melakukan sebaliknya,” soalnya.

Sehubungan itu, beliau ber­kata, DPMM negeri berharap kerajaan terutama Dr. Mahathir tidak membuat sesuatu keputusan berlandaskan politik semata-mata sebaliknya memikirkan manfaat rakyat secara keseluruhannya.