Mohd. Norazmin Mohamed, 28, berkata, ini merupakan percubaan kali kedua beliau menyertai peraduan tersebut dan bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dimurahkan rezeki untuk menjadi pemenang utama dengan membawa pulang sebuah kereta Proton Iriz 1.6 Premium sumbangan syarikat Proton Holdings Bhd.

Beliau yang bertugas sebagai pembantu makmal di Sekolah Menengah Kebangsaan Kampar berterima kasih kepada Utusan Malaysia kerana menganjurkan peraduan seperti itu yang sedikit sebanyak dapat membantu memudahkan kehidupan golongan berpendapatan sederhana sepertinya.

“Walaupun tiada rezeki sebelum ini, namun itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus menyertai peraduan #UMenangsakan kerana saya merupakan pembaca setia Utusan Malaysia.

“Pada percubaan kali kedua ini saya mendapat idea untuk melakukan sedikit kelainan iaitu menggubah keratan akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia seperti pentas kemerdekaan. Alhamdulillah usa­ha tersebut membuahkan hasil,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Penyampaian Hadiah Peraduan #UMenangsakan Bonanza Edisi Kedua di Ibu pejabat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas; Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Moha­mad; Penolong Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Mohd. Hassan Mohd. Noor dan Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah.

Mohd. Norazmin berkata, beliau merupakan pembaca setia Utusan Malaysia dan setiap hari akan membeli akhbar berkenaan kerana keupayaannya menyampaikan berita-berita sahih serta berkualiti.

“Ketika ini kita memiliki ba­nyak medium untuk mendapatkan berita, namun adakah berita berkenaan benar dan boleh dipercayai. Saya yakin berita yang disampaikan adalah telus dan menjurus kepada berita itu sendiri, tiada unsur-unsur lain,” katanya.