Mei Yoong, 43, yang masih bujang tidak percaya selepas dimaklumkan mengenai kemenangannya pada 23 November lalu itu apabila dihubungi pihak BSN dan dia pergi ke cawangan bank terdekat untuk mengesahkan perkara tersebut.

“Saya mula menyimpan RM100 dalam SSP pada 15 tahun lalu dan kini jumlah simpanan mencecah RM15,000.

“Apa yang terlintas dalam fikiran saya apabila perkara itu disahkan, saya ingin membeli rumah,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Cabutan BSN SSP 2017, di sini hari ini.

Hadiah ganjaran wang tunai RM1 juta yang dimenangi Mei Yoong itu disampaikan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Pada majlis itu juga seorang lagi penyimpan, Rozainah Ahmad dari Selangor diumumkan sebagai jutawan ke-12 SSP BSN 2017 selepas cabutan dibuat.

Yang turut hadir, Pengerusi BSN, Tan Sri Abu Bakar Abdullah dan Ketua Eksekutif, Datuk Yunos Abd. Ghani.

Mei Yoong berkata, dia masih belum mempunyai apa-apa rancangan dalam membelanjakan wang tersebut kerana sebelum ini tidak pernah terfikir boleh memenangi wang tunai seba­nyak itu.

Dalam pada itu, Yunos berkata, pihaknya menyasarkan pertambahan simpanan menerusi Sijil Simpanan Premium (SSP) mencecah RM1 bilion pada tahun depan.

“Sehingga akhir tahun ini, simpanan SSP berjumlah RM3.2 bilion melibatkan lebih seramai 2.9 juta penyimpan. Unjuran itu didorong oleh usaha BSN untuk menarik lebih ramai generasi muda untuk menyimpan dalam SSP terutama menerusi pengenalan produk baharu pada tahun depan yang menyasarkan remaja.

“Sebagai sebuah bank yang dimandatkan kerajaan untuk menggalakkan masyarakat Malaysia terutama golongan muda menyimpan, BSN dari semasa ke semasa memperkenalkan produk simpanan menarik. Jadi untuk tahun 2018, BSN akan agresif membuat kempen promosi di media sosial dalam usaha untuk pergi lebih dekat kepada orang ramai,” katanya.