Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, golongan bumiputera tidak akan menikmati lagi pembelaan sebagaimana dilakukan Barisan Nasional (BN) jika rakyat membuat pilihan yang salah.

Malah katanya, Jelajah Pendidikan Bumiputera (JPB) hasil ilham Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga bakal menerima nasib serupa, walaupun program tersebut terbukti banyak membantu orang Melayu dan bumiputera.

“Siri jelajah ini adalah satu program baharu yang bermula tahun lepas dan kemudiannya diteruskan pada tahun ini tetapi nasibnya pada tahun depan bergantung sama ada bilangan kami cukup atau tidak di Dewan Rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan JPB Peringkat Parlimen Sabak Bernam di sini hari ini.

Ahmad Jazlan berkata, program itu amat besar ertinya kerana membuka peluang kepada pelajar bumiputera untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Menurutnya, JPB adalah sebahagian daripada bukti bahawa kerajaan BN sentiasa memikirkan tentang masa depan anak-anak bumiputera khususnya orang Melayu kerana jika tidak dibantu melalui bidang pendidikan terutamanya, kaum majoriti itu akan terus ketinggalan.